Saturday 31 March 2012

Islam... indah (Kau dan Aku)

Dulu aku pun sama seperti kau. Islam hanya pada I/C, Islam hanya pada surat beranak, pendek cerita Islam hanya pada atas kertas. Aku pandai mengucap dua kalimah syahadah sama seperti kau tapi syahadah yang aku lafazkan hanya di bibir. Apa makna di sebalik kalimah tersebut? Kau tahu? Aku tahu makna nya “ Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu utusan Allah” tapi aku tahu makna ini pun setelah bertanya pada pakcik Google. Bagus lah pakcik Google ni, tahu semua benda. Pakcik beragama Islam jugak ker? 22 tahun aku membesar dengan kalimah ini tapi kenapa makna nya pun aku kena tanya pakcik Google? Kau tahu kenapa? Aku tak tahu, serius aku tak tahu. Aku pakai tudung tapi aku pakai pun sebab dah terbiasa. Sama lah dengan kau dah terbiasa pakai baju bila keluar dari rumah. Aku tahu waktu sembahyang lima kali sehari. Aku tahu Subuh 2 rakaat, Zohor, Asar, Isyak 4 rakaat dan Maghrib 3 rakaat. Aku rasa kau pun tahu kan, ingat lagi tak ustazah pernah ajar pasal solat dan niat nya? Aku ingat tapi aku tak ingat dosa dan balasan yang akan aku terima kalau meninggalkan solat. Sebab itu dulu solat aku tak pernah cukup, aku ‘rajin’ sembahyang Maghrib sahaja. Kau pula? Cukup tak solat kau?
Aku tahu Allah itu Maha Adil, Maha Mengasihani sebab waktu kelas fardu a’in dulu aku kena baca Asma’ul Husna. Kan itu antara 99 sifat Allah. Betul tak? Dulu aku hanya sekadar tahu tapi kini aku sudah mula percaya. Keputusan aku menyambung pengajian di pantai timur tidak akan aku kesali. Walaupun pada mulanya aku mengeluh kerana jauh dari KL, kota yang berlumpur tapi dekat sini aku semakin dekat dengan alam. Kau tahu mula-mula aku datang sini, ‘roommate’ aku sangat rajin solat. Aku pun terikut rajin tapi bukan sebab solat dengan ikhlas. Aku solat sebab kalau tak solat, aku rasa malu dengan dia. Bukannya malu dengan Allah. Tapi dalam setiap doa, aku sentiasa memohon supaya aku diberikan hidayah dan dikuatkan iman aku. Itu pun kalau aku teringat nak berdoa. Allah itu kan Maha Penyayang pada hamba nya. Aku sangat bersyukur akhirnya doa aku ini dimakbulkan. Doa seorang hamba yang solat hanya rasa malu pada ‘roommate’ nya, bukan malu pada MU. Subhanallah, segala puji bagi Mu Ya Allah.Aku masih teringat saat-saat hidayah itu sampai dalam diriku. Kau tahu macam mana rasa nya? Satu badan aku menggigil ketakutan, bukan nya menggigil macam kau tengok cerita hantu tu. Ketakutan yang tak pernah aku rasakan. Mungkin kau akan cakap aku melebih-lebih tapi percaya lah satu badan aku menggeletar sehingga setiap tulang dan urat saraf ku kesejukan. Seharian aku menangis mengenang kembali dosa-dosa yang terlampau banyak aku lakukan. Aku mandi wajib dengan harapan dosa-dosa aku akan terhapus tapi aku sedar itu tidak mencukupi. Keesokannya, aku ajak kawan ku ke bandar untuk membeli buku-buku agama dan juga Al-Quran. Ya, umur sudah 21 tahun tapi baru nak beli Al-Quran & Tafsir sendiri. Kau ada kitab suci ini? Kau faham makna setiap ayat di dalam nya? Aku tak faham bahasa Arab dan aku dah lama tak baca Al-Quran. Aku tahu membaca tapi lancarkah bacaan aku, betulkah tajwid aku? Waktu sekolah dulu, markah tajwid aku selalu dapat yang terendah. Tapi aku percaya kalau niat kita baik, segala urusan kita Insyallah berjalan dengan lancar. Sebab itu Allah kirimkan padaku sahabat yang banyak membantu dalam penghijrahan aku ini. Dia yang mengajar aku ilmu-ilmu agama yang tidak aku ketahui. Aku juga kembali mengingati ilmu-ilmu yang pernah aku perolehi di sekolah dahulu. Aku mula merangkak membaca Al-Quran dan memahami maknanya. Aku punya target untuk khatam Al-Quran sebelum akhir tahun 1433Hijrah,insyallah. Kalau target aku ini berjaya, makna nya sudah dua kali aku khatam Al-Quran sepanjang hidup aku. Kali pertama dulu ketika aku berumur 10 tahun. Kau sudah berapa kali khatam Al-Quran? Aku sudah mula solat kerana Allah, takut dengan dosa-dosa dan azab yang akan aku tanggung jika meninggalkannya. Aku tidak lagi solat kerana kawan tapi setiap ibadah aku hanya kerana Allah. Memang betul dengan bersolat dan membaca Al-Quran jiwa kita jadi tenang. Jiwa aku tak pernah rasa setenang ini, Alhamdulillah.
Aku masih lagi bertatih dalam menpelajari ilmu agama. Sekarang ini aku sedang berusaha mengubah penampilan aku. Aku sudah mula melabuhkan semua pakaianku tapi bagi aku masih tidak cukup labuh. Tudung yang menutup mahkotaku aku jaga dengan seelok-eloknya. Aku mahu memperbaiki penampilan ku supaya tiada mata-mata nakal yang akan memandang ku. Aku lagi rela tidak dijadikan perhatian kaum Adam. Kau tahu macam mana budak yang dulu hanya Islam pada nama tapi sekarang sudah mula belajar tentang makna Islam itu sendiri? Aku tak tahu jawapan yang sebenar, serius aku tak tahu. Yang aku tahu pintu taubat itu sentiasa terbuka. Allah tidak pernah jemu memberi keampunan pada hambaNya sehingga hambaNya sendiri yang jemu memohon keampunan. Mohon lah agar diberi hidayah kerana Allah itu Maha Mendengar setiap doa kita. Cuma yang membezakannya keikhlasan hati kita sendiri. Aku sangat bersyukur kerana aku antara hamba yang terpilih mendapat sinar hidayah ini. Dulu aku fikir, hidayah ini cuma diberi pada orang-orang kafir yang dibuka pintu hati mereka untuk memeluk Islam tapi aku silap. Memang dulu aku banyak buat silap, jadi sekarang aku mahu belajar dengan lebih mendalam tentang Islam. Agama yang sangat suci, satu-satunya agama yang dapat memberikan ketenangan hakiki. Aku tidak mahu kembali pada ‘aku’ yang dulu, kau pun sama jangan jadi seperti aku yang dulu. Jom kita sama-sama berjalan menuju ke syurga,insyallah J
lavendaz~
26-03-2012
By: Afida 

No comments:

Post a Comment