Saturday 28 April 2012

Surah Al-Quran Sebagai Mahar

Mahar atau mas kahwin kadang2 menjadi pertikaian bagi mereka yang tidak mampu untuk bernikah. Oleh sebab masalah itu juga, mereka yang ingin bernikah terpaksa membatalkan rancangan mereka. Peristiwa itu juga berlaku pada zaman Rasulullah S.A.W.

           Pada suatu hari, datang seorang perempuan menemui Rasulullah. Melihat dari raut wajahnya, Rasulullah dapat menduga perempuan itu seperti ada masalah dan meminta baginda menyelesaikannya .

           Setelah teragak-agak seketika, perempuan itu bersuara, "Wahai Rasulullah, aku serahkan diriku kepadamu."

           Rasulullah berfikir sejenak kerana inginkan kepastian apakah maksud sebenar perempuan itu. Belum sempat soalan itu dijawab, seorang lelaki muda berdiri di sebelah perempuan itu. "Wahai Rasulullah, kahwinkanlah dia denganku jika tuan tidak berhajat kepadanya," beritahu lelaki itu.

           Lalu jawab Rasulullah, "Wahai anak muda, apakah kamu ada sesuatu yang boleh dijadikan mas kahwin untuknya?"

          "Saya tidak mempunyai apa-apa selain daripada kain yang saya pakai ini," ujarnya jujur.

          "Jika kamu berikan pakaian kamu, sudah tentu kamu pula tidak berpakaian. Kalau begitu, kamu carilah apa sahaja meskipun sebentuk cincin besi," cadang Rasulullah lagi.

          Akhirnya, lelaki itu mencari cincin besi seperti mana yang dicadangkan tetapi setelah sekian lama mencari, lelaki itu bertemu semula dengan Rasulullah dengan wajah sugul . "Saya gagal mendapatkan apa yang tuan cadangkan," luah lelaki itu dengan perasaan kecewa

          "Begini sajalh. Oleh sebab kamu tidak mempunyai apa-apa untuk dijadikan mas kahwin, adakah kamu menghafal surah-surah Al-Quran?"

          "Ada ya Rasulullah," ujar lelaki itu sambil membacakan beberapa surah Al-Quran yang dia hafal.

          "Kalau begitu, aku nikahkan engkau dengan wanita ini dengan mas kahwinnya surah-surah Al-Quran yang engkau hafal itu," beritahu Rasulullah kepada pasangan tersebut.

            Mendengar apa yang dikhabarkan oleh Rasulullah, pasangan itu berasa lega kerana dapat berkahwin walaupun dengan surah-surah Al-Quran yang dihafalnya.

MORAL SIRAH - Dalam hal ini, kebijaksanaan Rasulullah terserlah apabila tidak memaksa pasangan tersebut yang kurang berkemampuan bernikah dengan menyediakan mas kahwin yang tidak mampu disediakan. Dalam satu hadis lain, Rasulullah pernah berkata , "Sesiapa yang memberi mas kahwin kepada seseorang perempuan berbentuk tepung atau kurma maka dihalalkan perempuan itu baginya dan perkahwinan itu adalah sah"