Thursday, 15 March 2012

Jadilah PENDENGAR.

"Alam memberi kita satu lidah tetapi dua telinga supaya kita dua kali lebih mendengar daripada berbicara" (La Rouchefuocauld)


Antara sifat yang paling utama adalah sifat dengar. Kejayaan seseorang pada kemudian hari bergantung kepada sama ada dia banyak mendengar atau tidak.


ISLAMNYA SAYIDINA UMAR
       Ramai para Sahabat memeluk Islam hanya setelah memdengar. Antaranya, Sayidina Umar al-Khattab r.a yang ketika itu berumur sekitar 27 tahun. Beliau melihat semakin hari semakin ramai orang-orang Quraisy memeluk agama Islam. Apabila mendapat berita sejumlah besar orang Islam telah berhijrah ke Habshah, Umar menjadi terlalu marah. Beliau keluar membawa pedang dengan tujuan untuk membunuh Nabi S.A.W. 


      Dalam perjalanan, Umar r.a bertemu dengan seorang Sahabat bernama Nu'aim bin Abdullah. Melihat Sayidina Umar r.a dalam keadaan marah, Nu'aim bertanya ke mana beliau hendak pergi. Saydina Umar r.a. menceritakan tujuannya. Nu'aim bimbang akan keselamatan Nabi S.A.W dan terus berkata, "Seharusnya engkau perbetulkan rumahmu dahulu." Nu'aim memberitahu bahawa saudara perempuannya, Fatimah dan suaminya Sa'id bin Zayd al-Adawi telah memeluk Islam. Terperanjat Sayidina Umar r.a., beliau terus ke rumah adik perempuan kesayangannya.


       Sementara itu di rumah Fatimah ada seorang Sahabat bernama Khabbab. Beliau adalah antara sahabat yang diutuskan Nabi S.A.W untuk membaca al-Quran di rumah-rumah para Sahabat yang telah memeluk Islam. Pada masa itu Khabbab sedang memperdengarkan al-Quran di hadapan Sa'id dan Fatimah. Setiba Sayidina Umar r.a. di rumah Fatimah, beliau mengetuk pintu dengan kuat. Fatimah terperanjat. Khabbab terus lari bersembunyi. Fatimah lekas-lekas sembunyikan kepingan al-Quran di bawah bantal. Berkata Sayidina Umar r.a., "Apa yang engkau baca tadi?" "Tidak ada apa-apa" jawab Fatimah dengan takut. "Mengapa engkau kata tidak ada apa-apa? Aku dengar tadi engkau tadi engkau memeluk agama Muhammad!" Setelah berkata demikian, beliau terus memukul memukul adik iparnya Sa'id. Fatimah yang datang menolong suaminya juga terpukul sehingga berdarah. 


         Melihat darah mengalir di kepala Fatimah, Sayidina Umar r.a. berasa terharu kerana dia sangat menyayangi adiknya. Tindakan abangnya itu membuatkan Fatimah menjadi berani lalu mengakui keislaman mereka. Sayidina Umar r.a. berkata, "Beri kepadaku kitab yang engkau baca tadi supaya aku lihat apa yang diajarkan oleh Muhammad!" "Engkau adalah najis dan penuh syirik, al-Quran tidak boleh disentuh kecuali telah bersuci!" tegas Fatimah. Umar disuruh membersihkan diri, barulah diberikan kepingan al-Quran kepadanya. Beliau membaca permulaan Surah Thaha (20 : 25).


        "Taha. Kami tidak menurunkan al-Quran ini kepadamu supaya kamu menjadi susah. Tetapi sebagai peringatan bagi orang takut kepada Tuhan. Iaitu diturunkan daripada Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi."


       Segera berubah wajah Sayidina Umar r.a seraya berkata, "Sungguh baik kata-katanya dan sunguh mulia." Khabbab yang tadinya bersembunyi, memberanikan diri datang kepada Sayidina Umar r.a. dan berkata, "Ya Umar! Demi Allah, engkau adalah doanya Nabi S.A.W kerana aku dengar semalam Baginda S.A.W berdoa, Ya Allah! tinggikanlah Islam dengan salah seorang Umar (diantara Umar al-Khatab atau Amru bin Hisyam).


MIMBAR Oleh Syed  Hassan Muhammad Al-Attas. (Pengerusi & Imam Masjid Ba'alawi, Singapura) 

KUASA NIAT!! (Apakah ada orang yang niatnya baik tetapi amalnya buruk?)

"Boleh jadi suatu amalan kecil menjadi besar kerana niat, suatu amalan yang besar menjadi kecil kerana niat. Sesuatu amalan dinilai menurut niat pelakunya." (Hukama)


Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs Umar ibn Khatab r.a. berkata : Aku mendengar Rrasulullah S.A.W bersabda; "Bahawasanya amalan-amalan itu dengan niat. Dan bagi setiap seseorang itu apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa hijrahnya  itu kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dna Rasul-Nya. Dan barangsiapa yang hijrahnya untuk dunia yang hendak diperolehinya ataupun untuk mengahwini seorang perempuan maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang diniatkannya."


          Seorang lelaki di kalangan para Sahabat amat mencintai seorang gadis rupawan bernama Ummu Qais. Lelaki itu berusaha agar Ummu Qais dapat dimilikinya. Dia pun meminang Ummu Qais semaktu mereka masih berada di Makkah. Namun, disebabkan ada halangan Ummu Qais telah menolak pinangannya. Kemudian Ummu Qais berhjrah ke Madinah. Lelaki tadi berasa amat duka cita. Oleh sebab terlalu merindui Ummu Qais, dia mengambil keputusan untuk berhjrah menjejaki Ummu Qais dengan harapan dia dapat memikat dan memujuknya semula di Madinah nanti.


           Hijrah lelaki itu bukan kerana tujuan asalnya; mencari keredhaan Allah S.W.T, mengikut Rasulullah dan menjadikan Madinah sebagai tempat perlindungan bagi agamanya. Ada maksud lain yang lebih utama iaitu untuk menukar keputusan Ummu Qais dan menerimanya semula.


#Apakah kedudukan hijrah seperti yang disebutkan oleh Rasulullah S.A.W di dalam hadis ini?
( : Hijrah merupakan aspek penting dalam sirah Rasulullah S.A.W. Di dalamnya terkandung erti penyerahan diri, keberanian, persaudaraan, strategi sehingga kepada pembinaan tamadun yang gilang gemilang. Untuk melaksanakan hijrah, Rasulullah S.A.W dan para sahabat bukan sekadar menumpahkan keringat dan peluh untuk menjayakan hijrah tetapi juga titisan darah. Rasulullah S.A.W menceritakan bukan dengan sabdanya semata-mata tetapi melalui tingkah laku dan amalan. Begitulah besarnya erti hijrah yang  mencakupi persoalan hidup seorang insan. Namun di dalam hadis ini, hijrah yang agung tidak bernilai apa-apa, sekiranya tidak dipaksikan niat untuk berhijrah kepada Allah S.W.T dan pengikut rasul-Nya. Tanpa niat, sesuatu itu hanya menjadi adat kebiasaan semata-mata. Perbuatan hijrah sebenarnya telah wujud sejak zaman lampau lagi. Masyarakat Arab berpindah dari satu tempat ke satu tempat lain untuk tujuan keselamatan ataupun keselesaan hidup. Rasulullah S.A.W menukar kebiasaan ini dengan membuat paksi yang sangat jelas; hijrah perlu diniatkan kerana Allah S.W.T barulah mendapat keredhaan-Nya.)


#Bukankah hadis ini menyebut hijrah mengukuhkan semua persoalan hidup dengan memerlukan niat yang betul, tidak hanya kepada ibadah khususnya seperti solat dan puasa?
( : Benar, itulah yang ingin disampaikan oleh Rasulullah S.A.W kepada kita. Supaya kehidupan benar-benar bermakna maka kita perlu mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dlama semua aspek kehidupan. Permulaannya daripada niat yang tulus kerana Allah S.W.T. Belajar, beraktiviti, berniaga, berumah tangga, berkeluarga sehingga ke peringkat mengurus negara perlu diniatkan kerana Allah S.W.T.


#Bagaimana melafazkan niat untuk semua perkara itu?
( : Seperti yang dibincangkan sebelum ini, niat adalah urusan hati, jadi tidak perlu dilafazkan. Namun hati perlu kepada qasad (tujuan) yang jelas iaitu kerana Allah S.W.T. Ada niat, Allah S.W.T akan bersama. Tiada niat, urusan itu hanya mendapat faedah duniawi semata-mata.)


#Apakah kebaikan niat kerana Allah S.W.T?
( : Apabila niat sudah betul, secara automatik Allah S.W.T telah bersama kita di sepanjang urusan itu. Pembelaan, pertolongan, keredhaan-Nya kan datang kemudian. Sebagai contoh kita bekerja atau berniaga dengan niat yang betul kerana Allah S.W.T, maka di sepanjang masa bekerja dan berniaga, Allah S.W.T akan bersama kita. Hatta sekiranya mati ketika itu, mati kita di atas jalan Allah S.W.T. Hal ini berlaku demikian kerana hati telah meletakkan Allah S.W.T sebagai tujuan yang sangat jelas. Dengan niat yang jelas kerana Allah S.W.T juga akan menjadikan diri kita kuat untuk mengikut syariat Allah S.W.T kerana seorang itu tidak mungkin melencong ke haluan lain selepas jelas matlamat atau tujuannya. Sebagai contoh, orang yang tujuannya ke Johor tidak mungkin mengikut hala jalan ke Perlis.)


#Apakah ada orang yang niatnya baik tetapi amalnya buruk?
( : Sebenarnya tidak berlaku begitu. Orang yang betul niatnya (bukan cakap sahaja) pasti membawa kebaikan. Sekiranya kelihatan kita berniat betul kerana Allah S.W.T tetapi kita terlibat dengan dosa semasa mengerjakan amalan itu, sebenarnya niat atau qasad itu masih tidak kerana Alla S.W.T. Demikian juga amalan baik tetapi riyak, menuntuk-nunjuk atau sebab suatu tujuan duniawi, maka sebenarnya niat kerana Allah S.W.T itu yang perlu diperbetulkan.)


PENGAJARAN HADIS :
1) Niat adalah teras segala amalan dan merupakan syarat untuk layak ataupun tidak sesuatu amal diterima.
2) Amal ibadah tidak mendatangkan pahala kecuali berdasarkan niat kerana Allah S.W.T.
3) Waktu pelaksanaan niat adalah di awal ibadah dan tempatnya di hati.
4) Ikhlas dan berniat semata-mata kerana Allah S.W.T dituntut pada semua amal soleh dan ibadah.
5) Seorang mukmin akan diberi ganjaran pahala berdasarkan kadar niatnya.
6) Semua perbuatan yang bermanfaat dan perkara mubah (harus), jika diiringi dengan niat kerana mencari keredhaan Allah S.W.T akan dinilai sebagai ibadah.
7) Yang membezakan antara ibadah dan adat adalah niat.
8) Niat merupakan juzuk iman kerana niat merupakan pekerjaan hati. Iman menurut pemahaman Ahli Sunnah wal Jamaah adalah membenarkan dalam hati, diucapkan dengan lisan dan diamalkan dengan perbuatan. 


halaqah - HADIS 40 Oleh Ustaz Zul Ramli Mohd Razali.

AR-RAHMAN

"Jika kau memerlukan nikmat dunia, cukuplah Islam sebagai nikmatmu. Jika kau memerlukan keasyikan, cukuplah taat kepada Allah sebagai keasyikanmu dan jika kau memerlukan pengajaran, cukuplah maut itu sebagai pengajaran bagimu." 
(Ali ibn Abi Thalib)


Betapa pentingnya untuk kita mengenali Allah S.W.T. Ini dapat dilaksanakan apabila kita memahami nama-nama Allah S.WT yang baik serta sifat-sifat-Nya yang luhur dan tinggi. Ianya menjadi perantara yang digunakan oleh Allah S.W.T agar semua makhluk yang berakal dapat mengetahui kebesaran-Nya.


Alhamdulillah dan selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Ar-Rahman adalah salah satu daripada nama Allah yang Maha Indah dan Maha Hebat. Pengertian Ar-Rahman yang mudah difahami ialah Maha Pemurah. Dia yang melimpahkan kemurahan-Nya. Ar-Rahman juga mengandungi makna lemah lembut, kasih sayang dan kehalusan. 


             Mukmin yang sejati akan sentiasa berusaha untuk beroleh rahmat daripada Allah S.W.T kerana hanya orang yang mendapat rahmat Allah sahaja yang tergolong dalam kelompok orang yang beruntung dan berjaya, Ianya jelas sebagaimana yang direkodkan dalam firman Allah yang bermaksud; 
"Kemudian sesudah itu kamu membelakangkan perjanjian setia kamu itu; maka kalau tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihan-Nya kepada kamu (dengan membuka pintu taubat), nescaya menjadilah kamu dari golongan orang yang rugi." -(Al-Baqarah 2:64)


             Bahkan di dalam ayat lain, keuntungan yang terbesar bagi orang yang mendapat rahmat Allah ialah akan dijauhkan azab-Nya, Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: "Sesiapa yang dijauhkan azab daripadanya pada hari itu, maka sesungguhnya Allah telah memberi rahmat kepadanya; dan itulah kejayaan yang jelas nyata." -(An-An'am 6:16).Maka jelaslah bahawa dengan rahmat Allah yang diperolehi oleh seseorang itu, akan menjadikannya selamat di dunia dan di akhirat.


            Sesungguhnya penghayatan kepada nama-nama Allah S.W.T Yang Maha Indah itu mestilah melahirkan rasa ketundukan hati seorang hamba (Ubudiyyah) secara lahir dan batin yang ianya pula bertepatan dengan maksud nama-nama tersebut. Justeru, kaedah yang terbaik dalam amalan kita sebagai kesan daripada menghayati al-Asma' al-Husna itu adalah kita berakhlak dengan apa yang telah diperintahkan oleh Allah S.W.T dan Rasul-Nya , serta meninggalkan keburukan akhlak yang telah ditegah oleh Allah S.W.T dan Rasul-Nya.


           Daripada nama-Nya "Ar-Rahman" tersebut, Allah memerintahkan kita untuk bersifat dengan sifat rahmah, yakni yang membawa makna kita mestilah mempunyai akhlak lemah lembut, kasih sayang dan kehalusan. Kesan yang terbesar kepada diri manusia apabila nama tersebut benar-benar dihayati ialah memuncak rasa pengharapan (ar-rajaa') kepada-Nya serta menjadikan dirinya seorang yang bersifat pengasih kepada sekalian makhluk Allah.


          Allah S.W.T berfirman "Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, supaya kamu diberi rahmat." (An-Nur 24:56). Dalam firman yang lain, "Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat baik, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi  zakat, serta taat kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (At-Taubah 90:71)


Asmaul Husna Oleh Ustaz Rujhan Mohamed Razali.

Wujudkah Barang Kemas Untuk Lelaki?

"Emas diuji dengan api, wanita diuji dengan emas dan lelaki diuji dengan wanita." (Adrieasa)


Allah S.W.T mengharuskan pemakaian emas dijadikan perhiasan diri. Walaupun begitu bahagian anggota badan yang boleh ditunjukkan perhiasan tersebut kepada umum hanya pada anggota zahir sahaja iaitu bahagian muka dan dua tangan hingga ke pergelangan tangan.


Q.Adakah bahagian muka wanita itu termasuk juga telinga?


Tidak. Telinga adalah kawasan aurat yang wajib ditutup dan wanita dilarang menunjukkan sebarang perhiasan yang dipakai di bahagian tersebut kepada yang bukan mahram .


Q.Bagaimana dengan permakaian gelang emas di tangan?


Wanita boleh memakainya asalkan tidak bersifat menunjuk-nunjuk. Tidak boleh sengaja menyelak-nyelakkan kain lengan baju bertujuan menampakkan perhiasan yang dipakai kepada yang bukan mahram. Kaedah pemakaian gelang jenis lain juga adalah sama seperti di atas.


Q.Bagaimana cara terbaik pemakaian cincin emas bagi wanita?


Sebaik-baik pemakaian cincin ialah pada jari manis kerana bertepatan dengan sunnah Nabi S.A.W. Walau bagaimanapun diharuskan memakai cincin pada jari lain asalkan tidak bersifat keterlaluan (terlalu banyak) sehingga bolah membahayakan diri (disamun).


Q.Adakah seseorang itu boleh memakai rantai emas di luar tudung seperti pengantin yang menggayakan perhiasan tersebut?


Hukumnya adalah haram wanita memakai rantai emas atau apa-apa jenis rantai di luar tudung di hadapan lelaki bukan mahram sama ada di dalam rumah, di luar rumah atau di majlis perkahwinan. Rantai kedudukannya digantung pada tengkuk dan hanya boleh dipakai di hadapan suami, ibu bapa, anak-anak, adik-beradik, dan yang mahram. Tidak boleh dipakai di luar rumah yang boleh ditonton oleh lelak ajnabi (bukan mahram).


Q.Apakah hukum wanita memakai gelang kaki berloceng?


Wanita tidak boleh memakai gelang kaki berloceng kecuali memakainya di dalam rumah di hadapan suami atau mahram dan di dalam majlis yang dihadiri oleh kaum wanita sahaja . Allah S.W.T berfirman "... dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka.." (An-Nur 24 : 31)


Q. Bolehkah wanita memakai rantai panjang dari dalam tudungnya sehingga menampakkan rantai dan buah rantai/loket yang dipakai di bawah tudung seperti trend sekarang?


Tetap tidak boleh.


Q.Apakah hukumnya lelaki memakai barang kemas seperti rantai atau gelang emas?


Hukum memakai emas dan sutera adalah haram bagi lelaki. Termasuk juga perhiasan yang diperbuat daripada emas seperti jam tangan, rantai, gelang tangan atau butang baju. Sayidina Ali r.a. meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W pernah mengambil sutera dan meletakkan di sebelah kanannya. Kemudian Baginda mengambil emas lalu meletakkannya di sebelah kiri. Baginda pun bersabda "Sesungguhnya kedua-dua barang ini adalah haram bagi kaum lelaki daripada umatku." (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan an-Nasa'i).


Q.Bagaimana pula hukumnya lelaki yang memakai cincin suasa?


Haram lelaki memakai cincin suasa kerana suasa ada campuran logam emas. Lelaki bolah memakai cincin perak , besi, atau lain- lain asalkan tidak bercampur dengan logam emas.


Q.Bolehkah seorang suami memakai cincin emas, gelang emas atau rantai emas untuk dipamerkan di hadapan isteri?


Lelaki tidak boleh memakai emas walaupun sedikit tanpa keuzuran yang diharuskan oleh syarak. Lelaki juga haram memakai rantai atau gelang daripada pelbagai benda seperti daripada jenis logam, tali guni, tali plastik, manik, kayu, atau gelang getah yang pelbagai warna berlogokan jenama barangan sukan dan gelang getah pengikat makanan.


Q.Dalam suasana apakah yang diharuskan lelaki memakai emas?


Lelaki diharuskan memakai emas dalam dua keadaan:


1. Gigi emas - diharuskan selepas mendapat nasihat daripada doktor sekiranya memakai gigi palsu lain boleh membawa kemudaratan seperti bau busuk mulut meloyakan.


2. Hidung emas - menggunakan hidung palsu kerana kerosakan hidung yang disebabkan oleh penyakit seperti resdung yang teruk atau disebabkan oleh kemalangan yang tidak boleh diganti dengan hidung tiruan lain yang boleh menyebabkan berlakunya kemudaratan.






Q.Bolehkah lelaki menjual emas?


Harus. Haram hukumnya sekiranya penjual emas lelaki itu menggayakkan/ memakai barang kemas yang ingin dijual walaupun sekejap di hadapan pelanggannya.


Q.Bagaimanakah hukumnya menyimpan pinggan mangkuk, sudu, garfu, atau perabot rumah yang diperbuat daripada emas?


Haram menyimpannya dan menggunakan barangan tersebut kerana dibimbang ada orang lain yang tidak tahu akan menggunakannya.


Q.Apakah perlu dibuat terhadap barang hiasan dan perabot emas tersebut?


Jualkan kepada orang bukan Islam.


Q.Apakah hukumnya kubah masjid yang dibuat dari emas?


Harus kerana masjid adalah untuk kegunaan orang ramai.


Senyum - oleh Ustaz Mohd Kazim Elias Al-Hafiz

Monday, 9 January 2012

Perasaan rindu kepada Allah SWT adalah Penghapus Dosa.

Al-Junaidi Al-Bahgdadi pernah berkata :
1- Mati itu rumah Allah SWT, jangan biarkan selain Allah SWT mendiaminya. ( Jangan biarkan kita mati dalam keadaan Syirik kepada Allah SWT ).
2- Rindu kepada Allah SWT itu membuang dosa.
3- Kamu tidak akan mencapai Baqa’ ( kekal dengan Allah SWT ) sebelum melalui Fana’ ( hapus diri ).
4- Orang yang takut kepada Allah SWT tidak sentiasa senyum.
5- Orang yang hidup bersandarkan nyawa akan mati, kerana nyawa akan berpisah daripada badan. Orang yang hidup bergantung kepada Allah SWT tidak akan mati kerana Allah SWT tidak akan mati.
6- Mata manusia itu lebih baik buta sekiranya mata tidak dapat menghargai Keindahan Allah SWT.
Lidah manusia itu lebih baik bisu jika lidah tersebut tidak menyebut Nama-nama  Allah SWT.
Telinga manusia itu lebih baik tuli jika telinga tersebut tidak boleh menerima Nasihat Allah SWT.
Anggota manusia  itu lebih baik mati jika tidak melakukan Arahan Allah SWT.
7- Orang yang bergantung dengan usahanya sendiri dalam mengenang Allah tidak akan mendapat ganjaran penuh dalam ibadatnya.
8- Orang yang dicintai oleh Allah SWT akan dipermudahkan kepadanya untuk berkawan dengan Wali-wali Allah SWT.
9- Orang yang mengkaji sesuatu tetapi tidak mengkaji hikmah perkahwinan tidak akan mencapai kesempurnaan dalam kajiannya.
10- Orang yang terlalu banyak makan tidak akan dapat melakukan ibadat.
11- Dunia itu tidak manis tetapi manis pada nilai kerohanian yang Allah SWT berikan kepadanya.
12- 400 orang ulamak bersepakat ” Seseorang itu hendaklah melakukan ibadat dengan penuh hati dan khusyuk sehingga tidak terlintas dalam fikirannya selain daripada Allah SWT”.
13- Seorang sufi itu seperti ladang, baja dan isinya. oleh yang demikian orang sufi adalah ibarat benih-benih yang baik.
14- Tauhid itu adalah mengenal Allah SWT.
15- Perasaan Cinta kepada Allah SWT akan membunuh perasaan ego yang terdapat dalan jiwa orang mukmin.
16- Sesat lalai daripada mengingati Allah SWT menghapuskan pahala seribu tahun beribadat.
17- Orang yang Benar-benar Ikhlas kepada Allah SWT pasti akan menjumpai Allah SWT.
18- Orang yang benar-benar  Mukmin adalah orang yang yakin hanya Allah SWT sahaja yang dapat memberi makanan kepadanya.
19- Orang yang berakal waras adalah lebih baik daripada orang sufi yang memiliki perasaan jahat di dalam hati.
20- Allah SWT terlebih dahulu mencipta Rahmat daripada mencipta Dunia.
21-  Sesiapa menyebut nama Allah SWT pasti namanya akan lenyap bersama nama Allah SWT.
22- Kesufian yang Allah SWT kurniakan kepada semua insan adalah kesufian yang lari daripada dunia dan menuju kepada Allah SWT dengan peribadatan.
23- Rahsia kesufian itu adalah Rahsia yang tersimpan di sisi Allah SWT yang tidak akan diketahui oleh sesiapa pun.
24- Jenayah yang paling zalim adalah Tamak haluba.
25- Berfikir dengan ayat-ayat Al-Quran akan mendapat Cahaya Allah SWT, kemuliaan Allah SWT dan Taqwa kepada Allah SWT.
Ayat-ayat Al-Quran berupaya melahirkan perasaan Cinta kepada Allah SWT.
26- Orang yang sentiasa memikirkan Rahmat Allah SWT akan dapat menghilangkan dosa kerana orang yang bimbang kehilangan Rahmat Allah tidak akan melakukan dosa.
27- Orang yang paling agong disisi Allah adalah orang yang menyerah kehendaknya kepada kehendak Allah SWT dan keredhaan Allah SWT.
28- Seseorang yang benar-benar Hamba Allah SWT tidak akan menyembah selain daripada Allah SWT.
29- Buangkan perasaan pentingkan dunia, pasti  Allah SWT akan membuka Jalan untuk menemuiNya.
30- Membuang hawa nafsu akan menjadikan diri anda pendamping kepada Allah SWT yang paling dekat.

Sunday, 8 January 2012

Pemuda Yang Ikhlas Dengan Cinta.

Pada zaman dahulu, ada seorang jejaka yang sangat suka membaca dan selalu menghabiskan masanya di perpustakaan pada waktu lapang. Dia amat suka membaca novel dan buku cerita. Pada suatu hari, dia telah terjumpa sebuah novel yang ada tertulis pada kulit novel itu nama dan alamat seorang gadis di salah satu muka suratnya. Tertulis di situ : "Zulaikha, ikhlas dan perlukan sahabat."

Tergerak hati jejaka untuk mengutus surat kepada si gadis misteri itu. Setelah pulang ke rumah, jejaka itu menulis surat untuk memberitahu niat ingin berkawan dengan gadis itu. Beberapa hari kemudian si jejaka mendapat balasan daripada gadis tersebut bahawa dia juga bersetuju untuk berkawan dengan si jejaka.

Hari betukar minggu dan minggu bertukar bulan. Persahabatan mula bertukar kepada perasaan sayang. Namun begitu mereka masih belum pernah bersua muka. Si jejaka ingin sekali bertemu si gadis misteri dan begitu juga dengan si gadis. Walaupun kedua-keduanya masih belum melihat rupa masing-masing, tetapi perasaan sayang tetap berbuku di hati.

Pada suatu hari, si jejaka dipanggil oleh bala tentera untuk pergi ke medan perang. Si jejaka merasa amat susah hati kerana dia bimbang sekiranya dia mungkin tidak dapat berjumpa dengan si gadis kesayangannya. Maka diutuskannya sepucuk surat berbunyi, "kalau Allah panjangkan jodoh kita, dan andai kamu masih sayang padaku, kita berjumpalah di stesen keretapi pada hari perang diumumkan tamat nanti. Aku akan memakai pakaian tenteraku dan membawa sekuntum mawar berwarna merah. Aku akan mengenali kamu sekiranya kamu juga memegang sekuntum bunga mawar merah. Setelah itu izinkanlah aku membawamu untuk makan malam dan bertemu orang tuaku."

Maka pergi lah jejaka ke medan perang dengan tenang setelah mengutuskan surat itu...

Beberapa bulan kemudian...

Pada hari pengumuman perang tamat, si jejaka pergi ke stesen keretapi yang dijanjikan sambil memegang sekuntum bunga mawar merah di tangannya. Diperhatikannya seorang demi seorang gadis yang berada di stesen keretapi itu sekiranya ada yang turut memegang bunga mawar merah sepertinya.

Tiba-tiba, si jejaka ternampak seorang gadis yang agak berisi, sedikit hitam dan berjerawat mukanya duduk di kerusi roda sambil melihat sekeliling seolah-olah mencari seseorang. Kakinya kudung dan tangannya cacat sebelah. Sebelah lagi tangannya memegang sekuntum bunga mawar berwarna merah. Si jejaka sangat terkejut melihat keadaan fizikal dan wajah gadis pujaannya selama ini amat berbeza dari imaginasinya, namun dia memberanikan diri menghampiri gadis tersebut.

"Zulaikha?"

Gadis itu melihat ke arah si jejaka dan tersenyum ceria. Si jejaka terus menghulurkan bunga mawar kepada si gadis dan berkata, "aku amat merinduimu. Terimalah bunga ini dan pelawaanku untuk makan malam bersama kedua ibu bapaku. Orang tuaku tidak sabar-sabar lagi untuk bertemu denganmu," kata jejaka itu.



**Berapa ramaikah manusia yang sesuci hati jejaka ini? Dia melihat kepada hati dan bukan kepada rupa. Dia telah mengotakan janjinya dan tetap berpegang kepada perasaan sayang walaupun pada mulanya dia menjangkakan gadis cacat itu adalah Zulaikha. Masihkah lagi wujud lelaki seikhlas dan seluhur hati pemuda itu? 

Si gadis itu tersenyum lagi dan berkata, "Aku tidak tahu apa yang terjadi. Tetapi ada seorang gadis cantik jelita memberikan bunga ini kepadaku sebentar tadi. Dia memintaku memberitahu kamu bahawa dia sedang menunggu kamu di restoran di hadapan stesen ini sekiranya kamu mempelawaku makan malam dan bertemu orang tuamu."









Mari Kita Renungkan Bersama

Sahabat-sahabatku….

Dalam suka-duka , riang ria menempuhi hidup ini , janganlah kalian lupa sama sekali ,
Dulunya kita tiada .. tetapi dengan kehendak dan kudrat yang Maha Esa ,

Kita dihidupkan ke dunia ini buat sementara 

Sahabat-sahabatku yang disayangi….
Cubalah bayangkan………..kedua-dua ibu dan bapa kita,
Bayangkanlah……
Sebelum kalian mencelikkan mata melihat dunia ini,
9 bulan 10 hari………kalian dikandung ibu tercinta,
selama itu ………penderitaan ibu yang mengandungkanmu,
Tidak terurai oleh kata-kata, sejuk perut ibu merasakan,
Kesakitan dan lenguh-lenguh membelit seluruh tubuh……..

Sahabat-sahabatku……..
Semasa dikau membesar dalam rahim ibu tercinta,
Letihnya ibu tidak bermaya
Pucat bibirnya, lemah anggotanya
Hendak makan pun tidak berselera
Tetapi ………..setengah-setengah ibu lantaran terpaksa
Walaupun uzur sedemikian rupa
Digagahkan diri membuat kerja
Mencari rezeki selagi terdaya
Terketar-ketar lemah badannya
Rebah tersungkur tidak berupaya

Apakan daya…….itulah pengorbanan ibu 

Kalian manjaan ibu……..
Kalian manjaan ayah…….
Tatkala dirimu akan muncul ke dunia
Sakitnya ibu tidak terkira
Kering tekaknya, berkerut mukanya
Berpeluh ibu …….seluruh anggota
Mengetap bibir, memejamkan mata
Terasa dirinya antara dua
Seakan-akan melayang nyawa dari jasadnya
Menahan kesakitan melahirkanmu
Renungkanlah mukanya ketika itu
Pucat tangannya menahan kesakitan yang teramat sangat
Masihkah kau ingat…….

Ibumu mengucapkan kalimah, “Allahuakbar….Ya Allah Ya Tuhanku…….
Selamatkanlah anakku ini …….
Selamatkanlah anakku ini……..
Selamatkanlah anakku ini……..
Itulah ucapan yang diulang-ulang
Hinggalah kalian dilahirkan di dunia ini
Masihkah kau ingat…..
Kelahiran kalian disambut dengan bisikan ‘azan’
Yang dibisikkan ayah di telingamu.

Sahabat-sahabat adalah harapan keluarga
Apabila tangisan pertama kedengaran
Ibunya lenyap segala kesakitan
Senyum lemah terukir di bibirnya
Di hati mengalir penuh sayang
Melihat dirimu yang merah kecil
Di rongga hatinya penuh kesyukuran
Di kepalanya berlegar pelbagai harapan
Inilah anak yang tersayang ……
Inilah anak pembela masa depan
Menjadi manusia berjaya
Menjadi manusia berguna

Menjadi manusia beriman 

Sahabatku…….
Masihkah kau ingat semasa kau dibesarkan
Ayah dan ibumu bergilir-gilir berjaga malam
Biar dirinya kepeningan ……….
Biar dirinya sakit demam
Asalkan anak ini tidak menangis kesejukan
Sahabatku…….
Semasa dirimu masih kecil
Engkau disusu sepenuh kasih sayang
Diriba, dibelai, didodoi, dibersihkan, dibedak, diselimut dengan manja
Sekali-kali tidak ibu rela
Walaupun seekor nyamuk menyentuh kulit halus anaknya.

Kalian kesayangan ibu dan ayah…..
Bila dirimu besar begini
PERNAH KAU HITUNGI………
Berapa banyak keringat ayah tumpahkan ke bumi
Berapa banyak peluh ibu mengalir ke kaki
Masihkah kau ingat ………masihkah kau ingat


Masihkah ingat ….
Bagi yang lelaki , berlari-lari di pondok hadapan rumah dengan kawan-kawan
Dan yang perempuan , bermain pondok-pondok dan
Masak-masak dengan kawan-kawan
Masihkah kau ingat …
Ibumu menyuapkan nasi ke mulutmu

Dan dengan tangan itulah engkau dibesarkan 

Sahabatku…
Masa berlalu begitu cepat sekali
Kini kalian mula memasuki alam persekolahan
Cuba kalian kenangkan kembali
Siapakah yang menghantar kalian ke sekolah ?
Siapakah yang duduk di sebelah kiri dan kanan kalian ketika itu ?
Masihkah kalian ingat …
Ketika kalian belajar membaca, menulis dan mengira di sekolah ?
Masihkah kalian ingat…
Guru-guru yang mengajar
Sehingga kalian pandai membaca , menulis dan mengira ?
Masa terus berlalu dengan cepatnya ….
Diam tak diam
kalian sudahpun melangkah kaki ke darjah 6

Setelah tamat darjah 6 ….. kalian sekarang dah masuk ke sekolah menengah 

Kini…
Kalian sekarang sudah remaja
Cabaran semakin banyak dan pelajaran semakin sukar
Kalian sudah melihat dunia luas
Jika di sekolah rendah dahulu
Kata-kata ibu bapa dan gurulah ….kata keramat
Yang kalian pegang
Tapi…Sekarang tidak lagi
Ke mana hilang semua itu
Masihkah kalian ingat ….
Ketika kalian ingin membeli sepasang baju yang agak mahal
kalian ingin memilikinya kerana …..
Rakan-rakan kalian di sekolah memakai pakaian yang mahal-mahal belaka
kalian malu dengan rakan-rakan jika tidak serupa dengan mereka
kalian malu….
kalian malu…..
kalian malu jika adik-adik tidak memiliki baju yang mahal juga
Walaupun keberatan kerana ayahmu tidak memiliki wang yang secukupnya
Ayahmu cuba juga untuk menunaikan hajat dan kehendak kalian
Kerana………. ayahmu tidak mahu mengecewakan kehendakmu
Asalkan keputusan peperiksaan kalian……..tidak mengecewakan mereka
Itu sajalah harapan mereka



Sedarkah sahbat-sahabatku……..
Wang yang digunakan untuk membeli baju mahalmu itu
Boleh menampung perbelanjaan makanan keluarga untuk beberapa lama?
sedarkah ketika itu?
Kalian sekarang sudah besar panjang
kalian merasakan ………
Kalian sudah pandai daripada mereka
Kata-kata dan leteran mereka sangat menyakitkan hati kalian
Kalian telah bosan dengan kata-kata nasihat mereka
Kata-kata nasihat itu kalian anggap sudah basi dan tidak bererti lagi
Kalian mulalah berjinak-jinak dengan kawan-kawan yang liar dan bebas
Kalian juga ingin bebas seperti mereka
Kalian tidak ingin lagi dikongnong oleh keluarga

AKU SUDAH BESAR….AKU SUDAH DEWASA…..AKU TIDAK SUKADILAYAN OLEH IBU DAN BAPA SEPERTI ANAK-ANAK KECIL”

Itulah luahan kata hati kecil kalian.
Kalian tidak lagi ambil kisah tentang ibu dan bapa….
Apa lagi untuk mengambil berat tentang diri mereka
Untuk kawan-kawan ……
Kalian belikan hadiah yang mahal-mahal pada hari jadi mereka
Tetapi…..
Untuk ibu dan ayahmu yang menjaga dan melahirkanmu
Kalian langsung tidak ingat
Bilakah tarikh lahir mereka
Mereka ,…..mereka bagi kalian tidak penting
Tidak penting………
Segala nasihat ibu dan bapa
Kalian tidak terima
Malah …..
Kalian menengking mereka
Kalian tergamak menngeluarkan kata-kata kesat kepada mereka
Kalian hina mereka
Kalian menganggap mereka kolot, tidak berpelajaran , kuno, dan tidak memahami masalah remaja masa kini. Kalian hancurkan impian dan harapan ibu bapa yang melahirkanmu dahulu.
Kalau ibu bapa kalian tahu apa yang akan berlaku kepada mereka….
Dahulu lagi ketika kalian masih kecil
Mereka telah pijak dan picit-picit
Apalah gunanya anak yang mereka harapkan dan bela sampai dewasa ini
Telah menjadi anak yang engkar dan derhaka

Namun apakan daya….
Walaupun mereka kecewa dan harapan mereka hancur
Mereka tetap menganggap kalian sebagai anaknya
Dan…..
Sebusuk-busuk daging
Dimamah, dibasuh….. dimakan jua.

Bayangkanlah……
Semasa kalian sedang lalai dan berseronok-seronok dengan rakan-rakan liar dan bebas itu
Tiba-tiba adik jatuh sakit
Kalian terpaksa dirawat di hospital berbulan-bulan lamanya
Sehingga…..
Badan kalian menjadi kurus kering
Mata kalian menjadi cengkung
Bibir kalian menjadi kering dan hampir semua rambut kalian gugur
Kalian tidak bermaya lagi
Ramai sanak saudara datang menziarahi kalian
Tetapi……
Rakan-rakan yang liar dan bebas entah ke mana
Apatah lagi hendak menjenguk…..
Nak membantu jauh sekali
Mana mereka?
Mana…………..
Tetapi………
Ibu dan ayah kalian tidak begitu
Mereka sentiasa berada di sisi dan menemani.
Bayangkanlah……
Ibu membelai-belai rambut kalian yang sudah tidak seberapa itu
Dan…….ayah kalian pula mengurut kaki kalian yang sudah tidak berdaging lagi
Bayangkanlah kalian……..
Sebenarnya kalian sedang menunggu saat-saat kematian yang begitu mendebarkan
Lihatlah air mata mereka…..
Berlinangan membasahi pipi kerana mengenangkan nasib diri kalian
Jika diizinkan Tuhan……
Ingin rasanya mereka mengambil tempat kalian
Kerana…….kalianlah yang patut hidup lebih lama bukanya mereka.
Begitulah pengorbanan dan kasihnya mereka kepada kalian
Pengorbanan dan kasih yang tiada tolok bandingnya dan tiada terkira nilainya
Tidak pernahkah kalian fikirkan ……..
Betapa peritnya penderitaan ibu dan ayah ketika itu
Begitulah betapa kasih dan sayangnya ibu dan ayah, terhadap kalian selama ini
Dan……di manakah nikmat-nikmat Tuhan yang telah diberikan kepada kalian

Yang pernah kalian dustakan. 

Sedarlah kalian……
Sedarlah kalian…..
Sedarlah…..
Sedarlah …..
Tetapi…..
Kini ibu dan ayah kalian gembira
Anak yang mereka harapkan
Anak yang mereka impikan untuk membela mereka
Kini……… sudah mahu berubah
Sudah mahu mendengar nasihat ibu dan ayah
Sudah mahu mendengan nasihat guru-guru tercinta
Dan ……sudah mahu mencipta kejayaan pada masa mendatang.
Katakanlah dan sematkanlah dalam hati kecil kalian
Aku kini tidak lagi begitu ibu
Aku tidak lagi seperti itu ayah
Aku kini sudah berubah
Aku akan cuba mencapai segala harapan ibu dan ayah
Aku tidak mahu malas-malas lagi
Aku tidak mahu lalai lagi
Aku tidak mahu leka lagi dengan angan-anganku
Dan……biarlah kursus ini menjadi bukti dan titik tolak permulaan hidupku
Ke arah mencapai kejayaan yang cemerlang .
Kalian manjaan abang-abang dan kakak-kakak….
Tariklah nafas perlahan-lahan
Buanglah kenangan buruk masa dahulu
Tukarlah……..
Tukarkanlah dengan azam yang baru
Tukarkanlah …….

Bukalah mata kalian wahai sahabat-sahabatku,
Bukalah perlahan-lahan
Lihatlah betapa indahnya hari ini
Seindah hidup adik-adik di masa akan datang
Aku berbangga pada diriku sendiri
Aku bangga kini
Insya Allah….aku akan berjaya

-DARI KAK HANANI-