Saturday, 24 March 2012

Akulah Hari Yang Kalian Nantikan . . .

     Kalian ingat hari lahir kalian? Ya! Mana mungkin kalian melupakannya. Setiap hari, ada saja nyanyian hari lahir bergema diatas muka bumi ini. Apa lagi hari penting yang kalian ingati? Hari perkahwinan? Hari perayaan? Bahkan hari kematian?

    Teruslah kalian bergembira dan mengingati hari-hari itu. Sayangnya, ramai yang telah melupakan aku. Ramai yang tidak mengenali aku bahkan ada yang terlupa untuk berkenalan denganku. Tahukah kalian, aku adalah hari yang pasti akan muncul dan akan kalian temui suatu masa nanti.

     Aku lebih besar daripada hari-hari yang kalian nantikan saban tahun. Aku lebih hebat daripada hari-hari yang kalian banggakan. Aku adalah hari yang lebih wajib untuk kalian kenali dan ingati.

       Tatkala aku tiba nanti, kalian tidak akan dapat lari bahkan bersembunyi sekalipun. Aku akan 'memanggil' kalian untuk berhimpun.

   Akan kusediakan sebuah padang bagai hamparan putih yang luas terbentang, tidak berbukit bahkan tidak juga bulat seperti bumi.

       Hamparan itu seluas mata memandang, tiada berpenghujung. Jangan gusar, berjuta-juta kalian mampu dihimpunkan di atas hamparan itu.

        Kalian akan dikumpulkan, berkaki ayam dan bertelanjang bulat tanpa seurat benang. Suami? Isteri? Abah? Ibu? Ayah? Semua itu kalian lupakan. Tiada malu, tiada kenalan. Hanyalah nasib kalian semata-mata.

        Pada hari aku tiba juga , matahari dan bulan dihapuskan cahayanya. Langit akan pecah dengan bunyi yang menakutkan. Lalu muncullah semula matahari dengan kepanasan yang berganda, seakan hanya sejengkal dari ubun kalian. 

         Kalian akan saksikan keadaan kalian yang bermacam-macam. Ada yang berupa kera kerana suka menabur fitnah. Ada pula yang berupa khinzir kerana suka makan rasuah dan melalaikan solat
         
          Ada pula yang mengalir daripadanya nanah serta darah yang busuk dan menikam-nikam lidahnya sendiri. Mereka adalah golongan yang mengajar tetapi tidak sama seperti yang diucapkan.

          Terdapat pula golongan kalian yang telapak kakinya terletak di dahi dan terikat pada ubun mereka yang mana lebih busuk daripada bangkai. Merekalah golongan yang sanggup membeli dunia dengan memperalatkan agama.

          Ada pula yang jalannya tidak lurus, terhuyung-hayang bagai orang mabuk. Mereka inilah yang menyimpan harta dari membelanjakannya ke jalan Allah. Ada pula golongan yang tidak bertangan dan berkaki kerana suka menyakiti orang sekelilingnya.

         Ada juga golongan yang perut mereka dipenuhi ular dan kala jengking nan sentiasa menyengat. Itulah orang yang tidak mengeluarkan zakat.

           Juga golongan yang mulutnya sentiasa mengalir darah yang berbau busuk kerana suka berbohong dalam perniagaan. Terdapat juga golongan yang terasing dan badannya lebih busuk daripada bangkai. Inilah mereka yang menyembunyikan maksiat.

         Ada pula yang terpotong halkumnya, terpisah daripada lehernya. Inilah golongan yang berbohong sebagai saksi. Terdapat juga yang mulutnya tiada berlidah, yakni mereka yang malas mengucap kalimah syahadah.

          Segolongan yang lain akan berjalan dengan kepala di bawah dan kaki di atas. Darah dan nanah sentiasa mengalir dari kemaluannya. Inilah golongan yang suka berzina. 

         Golongan lain pula, mukanya hitam dan perutnya dipenuhi api. Inilah mereka yang suka makan harta anak yatim. Ada pula yang lidah mereka terjelir panjang hingga ke perut, najis dan kencing sentiasa mengalir dari perutnya. Inilah orang yang suka minum arak.

        Banyak. . . dan banyak lagi golongan yang akan muncul pada hari ketibaanku kelak. Tidak terdaya untuk kuceritakan, dan tidak akan tergambar oleh kalian.

         Inginkah kalian tahu siapa aku? Ya! Akulah Padang Mahsyar! Hari pengadilan kalian semua! Hari aku akan tiba untuk menemui kalian. Aku adalah sesuatu yang pasti akan kalian temui.

          Apabila aku tiba, langit akan terbelah. Turunlah Arasy yang akan dipikul oleh malaikat ke bumi ini. Kalian semua akan menundukkan kepala  kerana ketakutan.

               Waktu itu, akan berterbanganlah kitab amalan kalian dari bawah Arasy menuju ke leher setiap pemiliknya. Akan tergantunglah kitab itu di leher kalian menanti untuk dihisab.

              Naraca timbangan akan digunakan untuk mengira amalan kalian. Neraca itu amat besar, mempunyai satu tiang dengan dua daun di kiri dan kanannya. Satu daun bercahaa untuk menimbang pahala, manakala daun yang satu lagi gelap warnanya untuk menimbang dosa.

                Sewaktu kalian dihisab, mulut akan dipateri. Yang akan berkata-kata hanyalah tangan, kaki, dan anggota tubuh menjadi saksi. Tiada dolak-dalik. tiada hujah penipuan. Semua akan diadili dengan bijaksana.

           Setelah kalian selesai dihisab, kalian akan diarahkan melintasi titianSiratul Mustaqim menuju ke Syurga. Lebar titian ini bagaikan sehelai rambut dibelah tujuh. Di bawahnya terbentang gapaian api Neraka.

                    Ada antara kalian yang melintasinya bagai kilat, seperti angin, dengan tunggangan binatang korban mahupun berjalan kaki. Ada yang melepasiya, ada pula yang terjatuh ke dalam api Neraka di bawahnya. Seribu orang yang menitinya, hanya seorang yang akan berjaya sampai ke penghujungnya.

                  Itu serba sedikit huraian tentang hariku. Hariku amat istimewa. Hariku adalah hari pengadilan! Hanya sekali! Tiada dua, tiada yang ketiga kalinya. Malah, aku semakin 'rindu' mahu menemui kalian.

                    Tidakkah kalian juga amat mmenantikan kedatanganku? Sabarlah. . . aku yang bernama HARI MAHSYAR pasti akan datang bertemu kalian.

"Dan demi sesungguhnya, kamu sekarang telah datang kepada Kami dengan keadaan sebatang kara seperti keadaan Kami ciptakan kamu keluar dari perut ibu kamu dulu, tidak berkain baju, tidak berkasut, tidak berkhatan dan tidak berharta benda." (An'am : 94)

Sunday, 18 March 2012

Kenapa BIBLE bukan INJIL?

"Agama dengan kekuasaan bertambah kuat, kekuasaan dengan agama bertambah kekal." (Hamka)


Bible adalah tulisan manusia yang diragui kesahihannya oleh penganut Kristian sendiri.


Kebanyakan orang menyangka bahawa kitab Bible adalah nama lain bagi kitab Injil. Ramai di khalayak umat Islam menyangka bahawa isi Bible adalah kitab Injil yang Allah turunkan kepada Nabi Isa a.s. tetapi ianya telah diubah. Apakah benar pandangan ini? Mari kita lihat kerana apabila disebut kitab Allah, ia bermaksud wahyu (kalamullah) yang diturunkan oleh Allah S.W.T kepada seorang rasul. Selain al-Quran, terdapat kitab-kitab lain yang diimani oleh umat Islam iaitu Injil, Taurat dan Zabur. Adakah Bible merupakan wahyu Allah yang diturunkan kepada Nabi Isa a.s.?

            Sebenarnya Bible adalah himpunan kitab-kitab warisan daripada kitab-kitab Yahudi (Old Testament, Perjanjian Lama) dan kitab-kitab yang ditulis selepas Jesus Christ (New Tastament, Perjanjian Baru) Ertinya,ia bukan wahyu Allah kepada Nabi Isa a.s. seperti al-Quran yang merupakan wahyu Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W.
       
            Apabila disebutkan wahyu, maka sebutannya adalah Allah berfirman, kerana itu adalah firman langsung Allah kepada seseorang rasul agar disampaikan kepada umat. Bible adalah tulisan manusia atau riwayat. Kerana itulah kita dapati keraguan terhadap ketulenan Bible terus menjadi isu yang dibangkitkan oleh penganut Kristian sendiri.

Saturday, 17 March 2012

Ya Allah Ya Sami'~~

Assalamu'alaikum...

heee.. jangan risau,,benda ni saja tulis.. sebab semalam merajuk dengan hamba Allah sorang ni, so hati tak tenang. Tapi sekarang ok dah!!

ermm.. semalam mengadu dekat Kekasih kita.
Kita beritahu dia yang kita merajuk dengan salah seorang hambaNya.
So, kita minta Dia tenangkan hati yang sedang berkecamuk dengan mcm2 masalah. .Terutamanya keje sekolah
Bila dah sujud tu, kita beritahu Dia yang sesungguhnya kita beritahu perkara yg sebenar, tentang nasib diri yg tak seberapa ni. .Walaupun 'ujiannya' tak sehebat perang Badar atau mana-mana Nabi yg menimpa dugaan dan cubaan.
Kita sedaya upaya menasihatkan diri ni supaya tenang tapi tak juga tenang.! .Tu yg geram ni.. gggrrrr!!!!!
dah tu, pagi ni kita TERLAMBAT BANGUN NAK MENGHADAP TUHAN YANG ESA.. hhaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaahhhhhh...
#Saya minta ampun... :'(


Tak tahu mcm mane boleh bangun lambat mcm tu sekali.. terkejut beruk .Terus bangun ambil wuduk..
nak salahkan siapa2 mana boleh ye tak? .pandai-pandai pergi tutup alarm tu buat apa???
Tapi alhamdulillah sebab sempat tunduk sujud pinta keampunan pada Kekasih kita tu. .Kalau tak nanti Dia merajuk, siapa nak pujuk? ha..ha tak tahu.. 


Kalau tak, habislah kita!! :'( yelah mana tahu kita Meninggal masa tu ke kan? Dah tak sempat nak minta ampun.. kita dan awak2 semua pun patut bersyukur kerana masih hidup buat masa ni.. Lagipun kita tak kan tahu bila hari kematian kita ye tak? .hmmmmm... :'(
Tapi kita akan ambil kesempatan ni untuk minta maaf atas segala kesalahan saya pada kawan2, guru, keluarga tercinta, dan awak yg tengah baca warkah ni.. .Eceh!!! warkah lah sangat.. heee..
kita tahu mungkin awak tak kenal dengan kita lagi tapi yg pasti awak saudara kita... dari keturunan Nabi Adam a.s. juga , kita patut saling memaafkan betul tak?


Saya pun tak tahu kenapa dengan saya hari ni,, .Terasa syahdu pula.. :)
 Untuk Husna dan Ku Nur Fatehah dan Aimuni Nabilah <3 .Kawan yang sgt saya cinta
Kalau ada perkara pelik yang awak nampak dekat saya, TEGURLAH SECEPAT MUNGKIN..
Sebab selalunya orang yg bersifat PELIK ni , itu tanda2 nya.. .heee tahu-tahu jelah ye.


#Akan ku temui engkau wahai sekalian sahabatku di Syurga, nanti kite borak-borak lah ye.. sekian.. ~~ 
Hahaha,, saya dah mula menangis ni.. .awaklah yang buat saya.. hmm :') hee gurau-gurau..


oklah insyaAllah kalau ada masa lagi saya tulis lagi ayat-ayat yang tidak menyentuh hati saudara.. .heee.. awak tahukan saya suka bergurau.. 


Akhir kata.. Bai Bai awak.. assalaum'alaikum.. .tak jawab berdosa tau.. 

Friday, 16 March 2012

Kesantunnnya Mengungguli Kemarahannya.

"Kuat dan jayanya suatu umat adalah kerana akhlaknya, apabila akhlaknya rosak maka binasalah umat itu." 
(Al-Ghazali)

Sifat kesantunan iaitu sifat tenang dalam kemarahan yang merupakan darjat yang lebih tinggi daripada sabar yang dimiliki oleh Nabi Muhammad S.A.W ini, telah berjaya membuatkan ulama Yahudi yang terkenal memeluk Islam.

Akhlak adalah tonggak utama dalam kejayaan misi dakwah Rasulullah S.A.W. Keindahan ajaran Islam nampak jelas melalui budi pekerti Rasulullah S.A.W yang luhur, sehingga dapat menarik orang bukan Islam untuk memeluk Islam. Rasulullah S.A.W bersabda : "Sesungguhnya aku diutus hanya untuk menyempurnakan akhlak." 
(Riwayat al-Baihaqi)

Sifat Manusia Ada Dua : 
Sifat khalqi (lahiriyah), iaitu sifat yang nampak pada paras atau bentuk tubuh badan manusia, sama ada muka, warna kulit, tinggi, atau pendek, gemuk atau kurus. Sifat khuluqi (batiniyah), iaitu sifat jiwa atau batin manusia, atau lebih dikenali dengan tabiat. Sifat ini ada yang baik seperti kesantunan, lemah lembut, kasih sayang dan ramah. Yang tidak baik pula seperti pemarah, bakhil,, panas baran dan kasar. Dalam kedua-dua sifat ini manusia berbeza-beza dan tiada kesempurnaan yang mutlak dalam kedua-duanya kecuali Rasulullah S.A.W. Hassan bin Tsabit berkata dalam syairnya : "Engkau (Ya Rasulullah) diciptakan tiada mempunyai aib, seakan-akan engkau dicipta mengikut kehendakmu." 

Antara akhlak Rasulullah S.A.W yang mulia adalah 'al-hilmu' iaitu kesantunan. Sifat ini diambil daripada nama-nama Allah S.W.T 'al-halim' (Maha Penyantun). Imam al-Jurjani menyebut santun ialah sifat tenang dalam kemarahan yang memuncak. Sifat ini lebih tinggi darjatnya berbanding sabar, kerana kesabaran lebih cenderung kepada sifat menahan diri daripada emosi. Sementara santun adalah ketenangan ketika sedang beremosi. Sayidina Khidir a.s pernah berkata kepada Musa a.s., "Wahai Musa! Biasakan dirimu untuk bersabar maka kamu akan menjumpai kesantunan."


Allah S.W.T juga memberikan sifat santun kepada Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. Allah S.W.T berfirman : "Sesungguhnya Ibrahim itu lembut hati lagi penyabar" (At-Taubah 9:144) dan "Lalu Kami berikan kepadanya berita gembira, bahawa dia akan beroleh seorang anak yang penyabar" (As-Saffat 37:101). Rasulullah S.A.W tidak ketinggalan untuk mendapat gelaran al-Halim. Rasulullah S.A.W bukan hanya bersifat santun ketika menghadapi sesetengah perkara, bahkan Baginda bertambah santun apabila dicabar kesantunannya.


Pada suatu hari, Rasulullah S.A.W didatangi oleh seorang badwi. "Ya Rasulullah! Ada sebuah daerah yang sebahagian besar penduduknya sudah memeluk Islam. Saya beritahu kepada mereka sekiranya kau semua masuk Islam maka akan datang banyak rezeki. Sekarang mereka sedang mengalami kelaparan kerana musim kemarau yang panjang. Saya khuatir mereka akan keluar daripada agama Islam. Adakah tuan dapat membantu mereka? Rasulullah S.A.W menolong mereka dengan berhutang 20 sho' (gantang Madinah) kurma daripada seorang Yahudi bernama Zaid bin Sa' nah, lalu mengirimkan kepada mereka yang kelaparan.


Tiga hari sebelum batas waktu ang ditetapkan, Yahudi tadi datang kepada Rasulullah S.A.W untuk menagih hutangnya. Lalu dia menghampiri Baginda dengan berkeadaan marah, lantas menarik baju Rasulullah S.A.W dengan keras seraya berkata, "Hai Muhammad! Apakah kamu tidak mahu melunasi hutangmu kepadaku? Selama ini aku tidak pernah melihat keluarga Abu Muttalib terlambat membayar hutang. Aku sudah lama bergaul denganmu." Sayidina Umar r.a. yang berada di sisi Rasulullah S.A.W memandang tajam kepada Zaid bin Sa'nah dan berkata,  "Hai musuh Allah! Apakah ucapan yang aku dengar tadi engkau tujukan kepada Rasulullah? Apakah perbuatanmu kepadanya yang baru sahaja kusaksikan benar-benar terjadi? Demi Allah yang telah mengutusnya dengan benar, seandainya aku tidak berasa khuatir akan merosakkan perjanjian damai antara Muslimin dengan kamu, pasti sudah kupenggal kepalamu"


Rasulullah S.A.W tetap tenang dan memandang Umar al-Khattab r.a. lantas tersenyum kepadanya sambil berkata, "Wahai Umar! Sesungguhnya aku dan dia memerlukan daripadamu sikap yang lebih baik daripada ini. Seharusnya kamu perintahkan aku untuk membayar hutang dengan baik, dan kamu perintahkannya untuk menagih hutang dengan baik pula. Sekarang bawalah dia lalu lunasilah hutangku kepadanya dan tambahkan lagi 20 sho' kurma sebagai ganti atas kelakuanmu kepadanya." Maka Umar al-Khattab r.a. pun melaksanakan perintah Rasulullah S.A.W. Yahudi tadi kehairanan dan bertanya, "Kenapa bayarannya lebih?"


Umar al-Khattab r.a. menjawab, "Rasulullah S.A.W memerintahku untuk menambahkanny sebagai ganti atas perbuatanku."
Yahudi tadi berkata, " Wahai Umar, tahukah kamu siapa aku?"
"Aku tidak tahu."
"Aku ialah Zaid bin Sa'nah."
"Engkaukah salah seorang Yahudi yang terkenal itu?"
"Benar, wahai Umar, semua ciri-ciri kenabian sudah kusaksikan pada wajahnya ketika aku mengujinya, iaitu kesantunannya mengungguli kemarahannya. Semakin seseorang itu marah, membuatkannya semakin santun. Sekarang aku telah membuktikannya. Maka saksikanlah wahai Umar, aku rela Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku dan Muhammad S.A.W sebagai nabiku. Dan saksikanlah wahai Umar, bahawa separuh daripada hartaku ini aku sedekahkan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W"

Thursday, 15 March 2012

Jadilah PENDENGAR.

"Alam memberi kita satu lidah tetapi dua telinga supaya kita dua kali lebih mendengar daripada berbicara" (La Rouchefuocauld)


Antara sifat yang paling utama adalah sifat dengar. Kejayaan seseorang pada kemudian hari bergantung kepada sama ada dia banyak mendengar atau tidak.


ISLAMNYA SAYIDINA UMAR
       Ramai para Sahabat memeluk Islam hanya setelah memdengar. Antaranya, Sayidina Umar al-Khattab r.a yang ketika itu berumur sekitar 27 tahun. Beliau melihat semakin hari semakin ramai orang-orang Quraisy memeluk agama Islam. Apabila mendapat berita sejumlah besar orang Islam telah berhijrah ke Habshah, Umar menjadi terlalu marah. Beliau keluar membawa pedang dengan tujuan untuk membunuh Nabi S.A.W. 


      Dalam perjalanan, Umar r.a bertemu dengan seorang Sahabat bernama Nu'aim bin Abdullah. Melihat Sayidina Umar r.a dalam keadaan marah, Nu'aim bertanya ke mana beliau hendak pergi. Saydina Umar r.a. menceritakan tujuannya. Nu'aim bimbang akan keselamatan Nabi S.A.W dan terus berkata, "Seharusnya engkau perbetulkan rumahmu dahulu." Nu'aim memberitahu bahawa saudara perempuannya, Fatimah dan suaminya Sa'id bin Zayd al-Adawi telah memeluk Islam. Terperanjat Sayidina Umar r.a., beliau terus ke rumah adik perempuan kesayangannya.


       Sementara itu di rumah Fatimah ada seorang Sahabat bernama Khabbab. Beliau adalah antara sahabat yang diutuskan Nabi S.A.W untuk membaca al-Quran di rumah-rumah para Sahabat yang telah memeluk Islam. Pada masa itu Khabbab sedang memperdengarkan al-Quran di hadapan Sa'id dan Fatimah. Setiba Sayidina Umar r.a. di rumah Fatimah, beliau mengetuk pintu dengan kuat. Fatimah terperanjat. Khabbab terus lari bersembunyi. Fatimah lekas-lekas sembunyikan kepingan al-Quran di bawah bantal. Berkata Sayidina Umar r.a., "Apa yang engkau baca tadi?" "Tidak ada apa-apa" jawab Fatimah dengan takut. "Mengapa engkau kata tidak ada apa-apa? Aku dengar tadi engkau tadi engkau memeluk agama Muhammad!" Setelah berkata demikian, beliau terus memukul memukul adik iparnya Sa'id. Fatimah yang datang menolong suaminya juga terpukul sehingga berdarah. 


         Melihat darah mengalir di kepala Fatimah, Sayidina Umar r.a. berasa terharu kerana dia sangat menyayangi adiknya. Tindakan abangnya itu membuatkan Fatimah menjadi berani lalu mengakui keislaman mereka. Sayidina Umar r.a. berkata, "Beri kepadaku kitab yang engkau baca tadi supaya aku lihat apa yang diajarkan oleh Muhammad!" "Engkau adalah najis dan penuh syirik, al-Quran tidak boleh disentuh kecuali telah bersuci!" tegas Fatimah. Umar disuruh membersihkan diri, barulah diberikan kepingan al-Quran kepadanya. Beliau membaca permulaan Surah Thaha (20 : 25).


        "Taha. Kami tidak menurunkan al-Quran ini kepadamu supaya kamu menjadi susah. Tetapi sebagai peringatan bagi orang takut kepada Tuhan. Iaitu diturunkan daripada Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi."


       Segera berubah wajah Sayidina Umar r.a seraya berkata, "Sungguh baik kata-katanya dan sunguh mulia." Khabbab yang tadinya bersembunyi, memberanikan diri datang kepada Sayidina Umar r.a. dan berkata, "Ya Umar! Demi Allah, engkau adalah doanya Nabi S.A.W kerana aku dengar semalam Baginda S.A.W berdoa, Ya Allah! tinggikanlah Islam dengan salah seorang Umar (diantara Umar al-Khatab atau Amru bin Hisyam).


MIMBAR Oleh Syed  Hassan Muhammad Al-Attas. (Pengerusi & Imam Masjid Ba'alawi, Singapura) 

KUASA NIAT!! (Apakah ada orang yang niatnya baik tetapi amalnya buruk?)

"Boleh jadi suatu amalan kecil menjadi besar kerana niat, suatu amalan yang besar menjadi kecil kerana niat. Sesuatu amalan dinilai menurut niat pelakunya." (Hukama)


Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs Umar ibn Khatab r.a. berkata : Aku mendengar Rrasulullah S.A.W bersabda; "Bahawasanya amalan-amalan itu dengan niat. Dan bagi setiap seseorang itu apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa hijrahnya  itu kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dna Rasul-Nya. Dan barangsiapa yang hijrahnya untuk dunia yang hendak diperolehinya ataupun untuk mengahwini seorang perempuan maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang diniatkannya."


          Seorang lelaki di kalangan para Sahabat amat mencintai seorang gadis rupawan bernama Ummu Qais. Lelaki itu berusaha agar Ummu Qais dapat dimilikinya. Dia pun meminang Ummu Qais semaktu mereka masih berada di Makkah. Namun, disebabkan ada halangan Ummu Qais telah menolak pinangannya. Kemudian Ummu Qais berhjrah ke Madinah. Lelaki tadi berasa amat duka cita. Oleh sebab terlalu merindui Ummu Qais, dia mengambil keputusan untuk berhjrah menjejaki Ummu Qais dengan harapan dia dapat memikat dan memujuknya semula di Madinah nanti.


           Hijrah lelaki itu bukan kerana tujuan asalnya; mencari keredhaan Allah S.W.T, mengikut Rasulullah dan menjadikan Madinah sebagai tempat perlindungan bagi agamanya. Ada maksud lain yang lebih utama iaitu untuk menukar keputusan Ummu Qais dan menerimanya semula.


#Apakah kedudukan hijrah seperti yang disebutkan oleh Rasulullah S.A.W di dalam hadis ini?
( : Hijrah merupakan aspek penting dalam sirah Rasulullah S.A.W. Di dalamnya terkandung erti penyerahan diri, keberanian, persaudaraan, strategi sehingga kepada pembinaan tamadun yang gilang gemilang. Untuk melaksanakan hijrah, Rasulullah S.A.W dan para sahabat bukan sekadar menumpahkan keringat dan peluh untuk menjayakan hijrah tetapi juga titisan darah. Rasulullah S.A.W menceritakan bukan dengan sabdanya semata-mata tetapi melalui tingkah laku dan amalan. Begitulah besarnya erti hijrah yang  mencakupi persoalan hidup seorang insan. Namun di dalam hadis ini, hijrah yang agung tidak bernilai apa-apa, sekiranya tidak dipaksikan niat untuk berhijrah kepada Allah S.W.T dan pengikut rasul-Nya. Tanpa niat, sesuatu itu hanya menjadi adat kebiasaan semata-mata. Perbuatan hijrah sebenarnya telah wujud sejak zaman lampau lagi. Masyarakat Arab berpindah dari satu tempat ke satu tempat lain untuk tujuan keselamatan ataupun keselesaan hidup. Rasulullah S.A.W menukar kebiasaan ini dengan membuat paksi yang sangat jelas; hijrah perlu diniatkan kerana Allah S.W.T barulah mendapat keredhaan-Nya.)


#Bukankah hadis ini menyebut hijrah mengukuhkan semua persoalan hidup dengan memerlukan niat yang betul, tidak hanya kepada ibadah khususnya seperti solat dan puasa?
( : Benar, itulah yang ingin disampaikan oleh Rasulullah S.A.W kepada kita. Supaya kehidupan benar-benar bermakna maka kita perlu mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dlama semua aspek kehidupan. Permulaannya daripada niat yang tulus kerana Allah S.W.T. Belajar, beraktiviti, berniaga, berumah tangga, berkeluarga sehingga ke peringkat mengurus negara perlu diniatkan kerana Allah S.W.T.


#Bagaimana melafazkan niat untuk semua perkara itu?
( : Seperti yang dibincangkan sebelum ini, niat adalah urusan hati, jadi tidak perlu dilafazkan. Namun hati perlu kepada qasad (tujuan) yang jelas iaitu kerana Allah S.W.T. Ada niat, Allah S.W.T akan bersama. Tiada niat, urusan itu hanya mendapat faedah duniawi semata-mata.)


#Apakah kebaikan niat kerana Allah S.W.T?
( : Apabila niat sudah betul, secara automatik Allah S.W.T telah bersama kita di sepanjang urusan itu. Pembelaan, pertolongan, keredhaan-Nya kan datang kemudian. Sebagai contoh kita bekerja atau berniaga dengan niat yang betul kerana Allah S.W.T, maka di sepanjang masa bekerja dan berniaga, Allah S.W.T akan bersama kita. Hatta sekiranya mati ketika itu, mati kita di atas jalan Allah S.W.T. Hal ini berlaku demikian kerana hati telah meletakkan Allah S.W.T sebagai tujuan yang sangat jelas. Dengan niat yang jelas kerana Allah S.W.T juga akan menjadikan diri kita kuat untuk mengikut syariat Allah S.W.T kerana seorang itu tidak mungkin melencong ke haluan lain selepas jelas matlamat atau tujuannya. Sebagai contoh, orang yang tujuannya ke Johor tidak mungkin mengikut hala jalan ke Perlis.)


#Apakah ada orang yang niatnya baik tetapi amalnya buruk?
( : Sebenarnya tidak berlaku begitu. Orang yang betul niatnya (bukan cakap sahaja) pasti membawa kebaikan. Sekiranya kelihatan kita berniat betul kerana Allah S.W.T tetapi kita terlibat dengan dosa semasa mengerjakan amalan itu, sebenarnya niat atau qasad itu masih tidak kerana Alla S.W.T. Demikian juga amalan baik tetapi riyak, menuntuk-nunjuk atau sebab suatu tujuan duniawi, maka sebenarnya niat kerana Allah S.W.T itu yang perlu diperbetulkan.)


PENGAJARAN HADIS :
1) Niat adalah teras segala amalan dan merupakan syarat untuk layak ataupun tidak sesuatu amal diterima.
2) Amal ibadah tidak mendatangkan pahala kecuali berdasarkan niat kerana Allah S.W.T.
3) Waktu pelaksanaan niat adalah di awal ibadah dan tempatnya di hati.
4) Ikhlas dan berniat semata-mata kerana Allah S.W.T dituntut pada semua amal soleh dan ibadah.
5) Seorang mukmin akan diberi ganjaran pahala berdasarkan kadar niatnya.
6) Semua perbuatan yang bermanfaat dan perkara mubah (harus), jika diiringi dengan niat kerana mencari keredhaan Allah S.W.T akan dinilai sebagai ibadah.
7) Yang membezakan antara ibadah dan adat adalah niat.
8) Niat merupakan juzuk iman kerana niat merupakan pekerjaan hati. Iman menurut pemahaman Ahli Sunnah wal Jamaah adalah membenarkan dalam hati, diucapkan dengan lisan dan diamalkan dengan perbuatan. 


halaqah - HADIS 40 Oleh Ustaz Zul Ramli Mohd Razali.

AR-RAHMAN

"Jika kau memerlukan nikmat dunia, cukuplah Islam sebagai nikmatmu. Jika kau memerlukan keasyikan, cukuplah taat kepada Allah sebagai keasyikanmu dan jika kau memerlukan pengajaran, cukuplah maut itu sebagai pengajaran bagimu." 
(Ali ibn Abi Thalib)


Betapa pentingnya untuk kita mengenali Allah S.W.T. Ini dapat dilaksanakan apabila kita memahami nama-nama Allah S.WT yang baik serta sifat-sifat-Nya yang luhur dan tinggi. Ianya menjadi perantara yang digunakan oleh Allah S.W.T agar semua makhluk yang berakal dapat mengetahui kebesaran-Nya.


Alhamdulillah dan selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Ar-Rahman adalah salah satu daripada nama Allah yang Maha Indah dan Maha Hebat. Pengertian Ar-Rahman yang mudah difahami ialah Maha Pemurah. Dia yang melimpahkan kemurahan-Nya. Ar-Rahman juga mengandungi makna lemah lembut, kasih sayang dan kehalusan. 


             Mukmin yang sejati akan sentiasa berusaha untuk beroleh rahmat daripada Allah S.W.T kerana hanya orang yang mendapat rahmat Allah sahaja yang tergolong dalam kelompok orang yang beruntung dan berjaya, Ianya jelas sebagaimana yang direkodkan dalam firman Allah yang bermaksud; 
"Kemudian sesudah itu kamu membelakangkan perjanjian setia kamu itu; maka kalau tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihan-Nya kepada kamu (dengan membuka pintu taubat), nescaya menjadilah kamu dari golongan orang yang rugi." -(Al-Baqarah 2:64)


             Bahkan di dalam ayat lain, keuntungan yang terbesar bagi orang yang mendapat rahmat Allah ialah akan dijauhkan azab-Nya, Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: "Sesiapa yang dijauhkan azab daripadanya pada hari itu, maka sesungguhnya Allah telah memberi rahmat kepadanya; dan itulah kejayaan yang jelas nyata." -(An-An'am 6:16).Maka jelaslah bahawa dengan rahmat Allah yang diperolehi oleh seseorang itu, akan menjadikannya selamat di dunia dan di akhirat.


            Sesungguhnya penghayatan kepada nama-nama Allah S.W.T Yang Maha Indah itu mestilah melahirkan rasa ketundukan hati seorang hamba (Ubudiyyah) secara lahir dan batin yang ianya pula bertepatan dengan maksud nama-nama tersebut. Justeru, kaedah yang terbaik dalam amalan kita sebagai kesan daripada menghayati al-Asma' al-Husna itu adalah kita berakhlak dengan apa yang telah diperintahkan oleh Allah S.W.T dan Rasul-Nya , serta meninggalkan keburukan akhlak yang telah ditegah oleh Allah S.W.T dan Rasul-Nya.


           Daripada nama-Nya "Ar-Rahman" tersebut, Allah memerintahkan kita untuk bersifat dengan sifat rahmah, yakni yang membawa makna kita mestilah mempunyai akhlak lemah lembut, kasih sayang dan kehalusan. Kesan yang terbesar kepada diri manusia apabila nama tersebut benar-benar dihayati ialah memuncak rasa pengharapan (ar-rajaa') kepada-Nya serta menjadikan dirinya seorang yang bersifat pengasih kepada sekalian makhluk Allah.


          Allah S.W.T berfirman "Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, supaya kamu diberi rahmat." (An-Nur 24:56). Dalam firman yang lain, "Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat baik, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi  zakat, serta taat kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (At-Taubah 90:71)


Asmaul Husna Oleh Ustaz Rujhan Mohamed Razali.