Thursday 15 March 2012

AR-RAHMAN

"Jika kau memerlukan nikmat dunia, cukuplah Islam sebagai nikmatmu. Jika kau memerlukan keasyikan, cukuplah taat kepada Allah sebagai keasyikanmu dan jika kau memerlukan pengajaran, cukuplah maut itu sebagai pengajaran bagimu." 
(Ali ibn Abi Thalib)


Betapa pentingnya untuk kita mengenali Allah S.W.T. Ini dapat dilaksanakan apabila kita memahami nama-nama Allah S.WT yang baik serta sifat-sifat-Nya yang luhur dan tinggi. Ianya menjadi perantara yang digunakan oleh Allah S.W.T agar semua makhluk yang berakal dapat mengetahui kebesaran-Nya.


Alhamdulillah dan selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Ar-Rahman adalah salah satu daripada nama Allah yang Maha Indah dan Maha Hebat. Pengertian Ar-Rahman yang mudah difahami ialah Maha Pemurah. Dia yang melimpahkan kemurahan-Nya. Ar-Rahman juga mengandungi makna lemah lembut, kasih sayang dan kehalusan. 


             Mukmin yang sejati akan sentiasa berusaha untuk beroleh rahmat daripada Allah S.W.T kerana hanya orang yang mendapat rahmat Allah sahaja yang tergolong dalam kelompok orang yang beruntung dan berjaya, Ianya jelas sebagaimana yang direkodkan dalam firman Allah yang bermaksud; 
"Kemudian sesudah itu kamu membelakangkan perjanjian setia kamu itu; maka kalau tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihan-Nya kepada kamu (dengan membuka pintu taubat), nescaya menjadilah kamu dari golongan orang yang rugi." -(Al-Baqarah 2:64)


             Bahkan di dalam ayat lain, keuntungan yang terbesar bagi orang yang mendapat rahmat Allah ialah akan dijauhkan azab-Nya, Allah S.W.T berfirman yang bermaksud: "Sesiapa yang dijauhkan azab daripadanya pada hari itu, maka sesungguhnya Allah telah memberi rahmat kepadanya; dan itulah kejayaan yang jelas nyata." -(An-An'am 6:16).Maka jelaslah bahawa dengan rahmat Allah yang diperolehi oleh seseorang itu, akan menjadikannya selamat di dunia dan di akhirat.


            Sesungguhnya penghayatan kepada nama-nama Allah S.W.T Yang Maha Indah itu mestilah melahirkan rasa ketundukan hati seorang hamba (Ubudiyyah) secara lahir dan batin yang ianya pula bertepatan dengan maksud nama-nama tersebut. Justeru, kaedah yang terbaik dalam amalan kita sebagai kesan daripada menghayati al-Asma' al-Husna itu adalah kita berakhlak dengan apa yang telah diperintahkan oleh Allah S.W.T dan Rasul-Nya , serta meninggalkan keburukan akhlak yang telah ditegah oleh Allah S.W.T dan Rasul-Nya.


           Daripada nama-Nya "Ar-Rahman" tersebut, Allah memerintahkan kita untuk bersifat dengan sifat rahmah, yakni yang membawa makna kita mestilah mempunyai akhlak lemah lembut, kasih sayang dan kehalusan. Kesan yang terbesar kepada diri manusia apabila nama tersebut benar-benar dihayati ialah memuncak rasa pengharapan (ar-rajaa') kepada-Nya serta menjadikan dirinya seorang yang bersifat pengasih kepada sekalian makhluk Allah.


          Allah S.W.T berfirman "Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, supaya kamu diberi rahmat." (An-Nur 24:56). Dalam firman yang lain, "Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat baik, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi  zakat, serta taat kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." (At-Taubah 90:71)


Asmaul Husna Oleh Ustaz Rujhan Mohamed Razali.

No comments:

Post a Comment