Thursday 15 March 2012

KUASA NIAT!! (Apakah ada orang yang niatnya baik tetapi amalnya buruk?)

"Boleh jadi suatu amalan kecil menjadi besar kerana niat, suatu amalan yang besar menjadi kecil kerana niat. Sesuatu amalan dinilai menurut niat pelakunya." (Hukama)


Daripada Amirul Mukminin Abu Hafs Umar ibn Khatab r.a. berkata : Aku mendengar Rrasulullah S.A.W bersabda; "Bahawasanya amalan-amalan itu dengan niat. Dan bagi setiap seseorang itu apa yang diniatkannya. Maka barangsiapa hijrahnya  itu kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dna Rasul-Nya. Dan barangsiapa yang hijrahnya untuk dunia yang hendak diperolehinya ataupun untuk mengahwini seorang perempuan maka hijrahnya itu adalah kepada apa yang diniatkannya."


          Seorang lelaki di kalangan para Sahabat amat mencintai seorang gadis rupawan bernama Ummu Qais. Lelaki itu berusaha agar Ummu Qais dapat dimilikinya. Dia pun meminang Ummu Qais semaktu mereka masih berada di Makkah. Namun, disebabkan ada halangan Ummu Qais telah menolak pinangannya. Kemudian Ummu Qais berhjrah ke Madinah. Lelaki tadi berasa amat duka cita. Oleh sebab terlalu merindui Ummu Qais, dia mengambil keputusan untuk berhjrah menjejaki Ummu Qais dengan harapan dia dapat memikat dan memujuknya semula di Madinah nanti.


           Hijrah lelaki itu bukan kerana tujuan asalnya; mencari keredhaan Allah S.W.T, mengikut Rasulullah dan menjadikan Madinah sebagai tempat perlindungan bagi agamanya. Ada maksud lain yang lebih utama iaitu untuk menukar keputusan Ummu Qais dan menerimanya semula.


#Apakah kedudukan hijrah seperti yang disebutkan oleh Rasulullah S.A.W di dalam hadis ini?
( : Hijrah merupakan aspek penting dalam sirah Rasulullah S.A.W. Di dalamnya terkandung erti penyerahan diri, keberanian, persaudaraan, strategi sehingga kepada pembinaan tamadun yang gilang gemilang. Untuk melaksanakan hijrah, Rasulullah S.A.W dan para sahabat bukan sekadar menumpahkan keringat dan peluh untuk menjayakan hijrah tetapi juga titisan darah. Rasulullah S.A.W menceritakan bukan dengan sabdanya semata-mata tetapi melalui tingkah laku dan amalan. Begitulah besarnya erti hijrah yang  mencakupi persoalan hidup seorang insan. Namun di dalam hadis ini, hijrah yang agung tidak bernilai apa-apa, sekiranya tidak dipaksikan niat untuk berhijrah kepada Allah S.W.T dan pengikut rasul-Nya. Tanpa niat, sesuatu itu hanya menjadi adat kebiasaan semata-mata. Perbuatan hijrah sebenarnya telah wujud sejak zaman lampau lagi. Masyarakat Arab berpindah dari satu tempat ke satu tempat lain untuk tujuan keselamatan ataupun keselesaan hidup. Rasulullah S.A.W menukar kebiasaan ini dengan membuat paksi yang sangat jelas; hijrah perlu diniatkan kerana Allah S.W.T barulah mendapat keredhaan-Nya.)


#Bukankah hadis ini menyebut hijrah mengukuhkan semua persoalan hidup dengan memerlukan niat yang betul, tidak hanya kepada ibadah khususnya seperti solat dan puasa?
( : Benar, itulah yang ingin disampaikan oleh Rasulullah S.A.W kepada kita. Supaya kehidupan benar-benar bermakna maka kita perlu mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dlama semua aspek kehidupan. Permulaannya daripada niat yang tulus kerana Allah S.W.T. Belajar, beraktiviti, berniaga, berumah tangga, berkeluarga sehingga ke peringkat mengurus negara perlu diniatkan kerana Allah S.W.T.


#Bagaimana melafazkan niat untuk semua perkara itu?
( : Seperti yang dibincangkan sebelum ini, niat adalah urusan hati, jadi tidak perlu dilafazkan. Namun hati perlu kepada qasad (tujuan) yang jelas iaitu kerana Allah S.W.T. Ada niat, Allah S.W.T akan bersama. Tiada niat, urusan itu hanya mendapat faedah duniawi semata-mata.)


#Apakah kebaikan niat kerana Allah S.W.T?
( : Apabila niat sudah betul, secara automatik Allah S.W.T telah bersama kita di sepanjang urusan itu. Pembelaan, pertolongan, keredhaan-Nya kan datang kemudian. Sebagai contoh kita bekerja atau berniaga dengan niat yang betul kerana Allah S.W.T, maka di sepanjang masa bekerja dan berniaga, Allah S.W.T akan bersama kita. Hatta sekiranya mati ketika itu, mati kita di atas jalan Allah S.W.T. Hal ini berlaku demikian kerana hati telah meletakkan Allah S.W.T sebagai tujuan yang sangat jelas. Dengan niat yang jelas kerana Allah S.W.T juga akan menjadikan diri kita kuat untuk mengikut syariat Allah S.W.T kerana seorang itu tidak mungkin melencong ke haluan lain selepas jelas matlamat atau tujuannya. Sebagai contoh, orang yang tujuannya ke Johor tidak mungkin mengikut hala jalan ke Perlis.)


#Apakah ada orang yang niatnya baik tetapi amalnya buruk?
( : Sebenarnya tidak berlaku begitu. Orang yang betul niatnya (bukan cakap sahaja) pasti membawa kebaikan. Sekiranya kelihatan kita berniat betul kerana Allah S.W.T tetapi kita terlibat dengan dosa semasa mengerjakan amalan itu, sebenarnya niat atau qasad itu masih tidak kerana Alla S.W.T. Demikian juga amalan baik tetapi riyak, menuntuk-nunjuk atau sebab suatu tujuan duniawi, maka sebenarnya niat kerana Allah S.W.T itu yang perlu diperbetulkan.)


PENGAJARAN HADIS :
1) Niat adalah teras segala amalan dan merupakan syarat untuk layak ataupun tidak sesuatu amal diterima.
2) Amal ibadah tidak mendatangkan pahala kecuali berdasarkan niat kerana Allah S.W.T.
3) Waktu pelaksanaan niat adalah di awal ibadah dan tempatnya di hati.
4) Ikhlas dan berniat semata-mata kerana Allah S.W.T dituntut pada semua amal soleh dan ibadah.
5) Seorang mukmin akan diberi ganjaran pahala berdasarkan kadar niatnya.
6) Semua perbuatan yang bermanfaat dan perkara mubah (harus), jika diiringi dengan niat kerana mencari keredhaan Allah S.W.T akan dinilai sebagai ibadah.
7) Yang membezakan antara ibadah dan adat adalah niat.
8) Niat merupakan juzuk iman kerana niat merupakan pekerjaan hati. Iman menurut pemahaman Ahli Sunnah wal Jamaah adalah membenarkan dalam hati, diucapkan dengan lisan dan diamalkan dengan perbuatan. 


halaqah - HADIS 40 Oleh Ustaz Zul Ramli Mohd Razali.

No comments:

Post a Comment