Friday 16 March 2012

Kesantunnnya Mengungguli Kemarahannya.

"Kuat dan jayanya suatu umat adalah kerana akhlaknya, apabila akhlaknya rosak maka binasalah umat itu." 
(Al-Ghazali)

Sifat kesantunan iaitu sifat tenang dalam kemarahan yang merupakan darjat yang lebih tinggi daripada sabar yang dimiliki oleh Nabi Muhammad S.A.W ini, telah berjaya membuatkan ulama Yahudi yang terkenal memeluk Islam.

Akhlak adalah tonggak utama dalam kejayaan misi dakwah Rasulullah S.A.W. Keindahan ajaran Islam nampak jelas melalui budi pekerti Rasulullah S.A.W yang luhur, sehingga dapat menarik orang bukan Islam untuk memeluk Islam. Rasulullah S.A.W bersabda : "Sesungguhnya aku diutus hanya untuk menyempurnakan akhlak." 
(Riwayat al-Baihaqi)

Sifat Manusia Ada Dua : 
Sifat khalqi (lahiriyah), iaitu sifat yang nampak pada paras atau bentuk tubuh badan manusia, sama ada muka, warna kulit, tinggi, atau pendek, gemuk atau kurus. Sifat khuluqi (batiniyah), iaitu sifat jiwa atau batin manusia, atau lebih dikenali dengan tabiat. Sifat ini ada yang baik seperti kesantunan, lemah lembut, kasih sayang dan ramah. Yang tidak baik pula seperti pemarah, bakhil,, panas baran dan kasar. Dalam kedua-dua sifat ini manusia berbeza-beza dan tiada kesempurnaan yang mutlak dalam kedua-duanya kecuali Rasulullah S.A.W. Hassan bin Tsabit berkata dalam syairnya : "Engkau (Ya Rasulullah) diciptakan tiada mempunyai aib, seakan-akan engkau dicipta mengikut kehendakmu." 

Antara akhlak Rasulullah S.A.W yang mulia adalah 'al-hilmu' iaitu kesantunan. Sifat ini diambil daripada nama-nama Allah S.W.T 'al-halim' (Maha Penyantun). Imam al-Jurjani menyebut santun ialah sifat tenang dalam kemarahan yang memuncak. Sifat ini lebih tinggi darjatnya berbanding sabar, kerana kesabaran lebih cenderung kepada sifat menahan diri daripada emosi. Sementara santun adalah ketenangan ketika sedang beremosi. Sayidina Khidir a.s pernah berkata kepada Musa a.s., "Wahai Musa! Biasakan dirimu untuk bersabar maka kamu akan menjumpai kesantunan."


Allah S.W.T juga memberikan sifat santun kepada Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. Allah S.W.T berfirman : "Sesungguhnya Ibrahim itu lembut hati lagi penyabar" (At-Taubah 9:144) dan "Lalu Kami berikan kepadanya berita gembira, bahawa dia akan beroleh seorang anak yang penyabar" (As-Saffat 37:101). Rasulullah S.A.W tidak ketinggalan untuk mendapat gelaran al-Halim. Rasulullah S.A.W bukan hanya bersifat santun ketika menghadapi sesetengah perkara, bahkan Baginda bertambah santun apabila dicabar kesantunannya.


Pada suatu hari, Rasulullah S.A.W didatangi oleh seorang badwi. "Ya Rasulullah! Ada sebuah daerah yang sebahagian besar penduduknya sudah memeluk Islam. Saya beritahu kepada mereka sekiranya kau semua masuk Islam maka akan datang banyak rezeki. Sekarang mereka sedang mengalami kelaparan kerana musim kemarau yang panjang. Saya khuatir mereka akan keluar daripada agama Islam. Adakah tuan dapat membantu mereka? Rasulullah S.A.W menolong mereka dengan berhutang 20 sho' (gantang Madinah) kurma daripada seorang Yahudi bernama Zaid bin Sa' nah, lalu mengirimkan kepada mereka yang kelaparan.


Tiga hari sebelum batas waktu ang ditetapkan, Yahudi tadi datang kepada Rasulullah S.A.W untuk menagih hutangnya. Lalu dia menghampiri Baginda dengan berkeadaan marah, lantas menarik baju Rasulullah S.A.W dengan keras seraya berkata, "Hai Muhammad! Apakah kamu tidak mahu melunasi hutangmu kepadaku? Selama ini aku tidak pernah melihat keluarga Abu Muttalib terlambat membayar hutang. Aku sudah lama bergaul denganmu." Sayidina Umar r.a. yang berada di sisi Rasulullah S.A.W memandang tajam kepada Zaid bin Sa'nah dan berkata,  "Hai musuh Allah! Apakah ucapan yang aku dengar tadi engkau tujukan kepada Rasulullah? Apakah perbuatanmu kepadanya yang baru sahaja kusaksikan benar-benar terjadi? Demi Allah yang telah mengutusnya dengan benar, seandainya aku tidak berasa khuatir akan merosakkan perjanjian damai antara Muslimin dengan kamu, pasti sudah kupenggal kepalamu"


Rasulullah S.A.W tetap tenang dan memandang Umar al-Khattab r.a. lantas tersenyum kepadanya sambil berkata, "Wahai Umar! Sesungguhnya aku dan dia memerlukan daripadamu sikap yang lebih baik daripada ini. Seharusnya kamu perintahkan aku untuk membayar hutang dengan baik, dan kamu perintahkannya untuk menagih hutang dengan baik pula. Sekarang bawalah dia lalu lunasilah hutangku kepadanya dan tambahkan lagi 20 sho' kurma sebagai ganti atas kelakuanmu kepadanya." Maka Umar al-Khattab r.a. pun melaksanakan perintah Rasulullah S.A.W. Yahudi tadi kehairanan dan bertanya, "Kenapa bayarannya lebih?"


Umar al-Khattab r.a. menjawab, "Rasulullah S.A.W memerintahku untuk menambahkanny sebagai ganti atas perbuatanku."
Yahudi tadi berkata, " Wahai Umar, tahukah kamu siapa aku?"
"Aku tidak tahu."
"Aku ialah Zaid bin Sa'nah."
"Engkaukah salah seorang Yahudi yang terkenal itu?"
"Benar, wahai Umar, semua ciri-ciri kenabian sudah kusaksikan pada wajahnya ketika aku mengujinya, iaitu kesantunannya mengungguli kemarahannya. Semakin seseorang itu marah, membuatkannya semakin santun. Sekarang aku telah membuktikannya. Maka saksikanlah wahai Umar, aku rela Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku dan Muhammad S.A.W sebagai nabiku. Dan saksikanlah wahai Umar, bahawa separuh daripada hartaku ini aku sedekahkan kepada umat Nabi Muhammad S.A.W"

No comments:

Post a Comment