Thursday 15 March 2012

Wujudkah Barang Kemas Untuk Lelaki?

"Emas diuji dengan api, wanita diuji dengan emas dan lelaki diuji dengan wanita." (Adrieasa)


Allah S.W.T mengharuskan pemakaian emas dijadikan perhiasan diri. Walaupun begitu bahagian anggota badan yang boleh ditunjukkan perhiasan tersebut kepada umum hanya pada anggota zahir sahaja iaitu bahagian muka dan dua tangan hingga ke pergelangan tangan.


Q.Adakah bahagian muka wanita itu termasuk juga telinga?


Tidak. Telinga adalah kawasan aurat yang wajib ditutup dan wanita dilarang menunjukkan sebarang perhiasan yang dipakai di bahagian tersebut kepada yang bukan mahram .


Q.Bagaimana dengan permakaian gelang emas di tangan?


Wanita boleh memakainya asalkan tidak bersifat menunjuk-nunjuk. Tidak boleh sengaja menyelak-nyelakkan kain lengan baju bertujuan menampakkan perhiasan yang dipakai kepada yang bukan mahram. Kaedah pemakaian gelang jenis lain juga adalah sama seperti di atas.


Q.Bagaimana cara terbaik pemakaian cincin emas bagi wanita?


Sebaik-baik pemakaian cincin ialah pada jari manis kerana bertepatan dengan sunnah Nabi S.A.W. Walau bagaimanapun diharuskan memakai cincin pada jari lain asalkan tidak bersifat keterlaluan (terlalu banyak) sehingga bolah membahayakan diri (disamun).


Q.Adakah seseorang itu boleh memakai rantai emas di luar tudung seperti pengantin yang menggayakan perhiasan tersebut?


Hukumnya adalah haram wanita memakai rantai emas atau apa-apa jenis rantai di luar tudung di hadapan lelaki bukan mahram sama ada di dalam rumah, di luar rumah atau di majlis perkahwinan. Rantai kedudukannya digantung pada tengkuk dan hanya boleh dipakai di hadapan suami, ibu bapa, anak-anak, adik-beradik, dan yang mahram. Tidak boleh dipakai di luar rumah yang boleh ditonton oleh lelak ajnabi (bukan mahram).


Q.Apakah hukum wanita memakai gelang kaki berloceng?


Wanita tidak boleh memakai gelang kaki berloceng kecuali memakainya di dalam rumah di hadapan suami atau mahram dan di dalam majlis yang dihadiri oleh kaum wanita sahaja . Allah S.W.T berfirman "... dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka.." (An-Nur 24 : 31)


Q. Bolehkah wanita memakai rantai panjang dari dalam tudungnya sehingga menampakkan rantai dan buah rantai/loket yang dipakai di bawah tudung seperti trend sekarang?


Tetap tidak boleh.


Q.Apakah hukumnya lelaki memakai barang kemas seperti rantai atau gelang emas?


Hukum memakai emas dan sutera adalah haram bagi lelaki. Termasuk juga perhiasan yang diperbuat daripada emas seperti jam tangan, rantai, gelang tangan atau butang baju. Sayidina Ali r.a. meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W pernah mengambil sutera dan meletakkan di sebelah kanannya. Kemudian Baginda mengambil emas lalu meletakkannya di sebelah kiri. Baginda pun bersabda "Sesungguhnya kedua-dua barang ini adalah haram bagi kaum lelaki daripada umatku." (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan an-Nasa'i).


Q.Bagaimana pula hukumnya lelaki yang memakai cincin suasa?


Haram lelaki memakai cincin suasa kerana suasa ada campuran logam emas. Lelaki bolah memakai cincin perak , besi, atau lain- lain asalkan tidak bercampur dengan logam emas.


Q.Bolehkah seorang suami memakai cincin emas, gelang emas atau rantai emas untuk dipamerkan di hadapan isteri?


Lelaki tidak boleh memakai emas walaupun sedikit tanpa keuzuran yang diharuskan oleh syarak. Lelaki juga haram memakai rantai atau gelang daripada pelbagai benda seperti daripada jenis logam, tali guni, tali plastik, manik, kayu, atau gelang getah yang pelbagai warna berlogokan jenama barangan sukan dan gelang getah pengikat makanan.


Q.Dalam suasana apakah yang diharuskan lelaki memakai emas?


Lelaki diharuskan memakai emas dalam dua keadaan:


1. Gigi emas - diharuskan selepas mendapat nasihat daripada doktor sekiranya memakai gigi palsu lain boleh membawa kemudaratan seperti bau busuk mulut meloyakan.


2. Hidung emas - menggunakan hidung palsu kerana kerosakan hidung yang disebabkan oleh penyakit seperti resdung yang teruk atau disebabkan oleh kemalangan yang tidak boleh diganti dengan hidung tiruan lain yang boleh menyebabkan berlakunya kemudaratan.






Q.Bolehkah lelaki menjual emas?


Harus. Haram hukumnya sekiranya penjual emas lelaki itu menggayakkan/ memakai barang kemas yang ingin dijual walaupun sekejap di hadapan pelanggannya.


Q.Bagaimanakah hukumnya menyimpan pinggan mangkuk, sudu, garfu, atau perabot rumah yang diperbuat daripada emas?


Haram menyimpannya dan menggunakan barangan tersebut kerana dibimbang ada orang lain yang tidak tahu akan menggunakannya.


Q.Apakah perlu dibuat terhadap barang hiasan dan perabot emas tersebut?


Jualkan kepada orang bukan Islam.


Q.Apakah hukumnya kubah masjid yang dibuat dari emas?


Harus kerana masjid adalah untuk kegunaan orang ramai.


Senyum - oleh Ustaz Mohd Kazim Elias Al-Hafiz

No comments:

Post a Comment